KOTA KINABALU – Sebanyak 30
pegawai dan renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah menyertai kursus
pengendalian senjata api, keselamatan dan menembak yang dijalankan
Persatuan menembak Sabah dan polis.
Timbalan Pengarah II Jabatan Hidupan
Liar Sabah Peter Malim berkata kursus itu bertujuan untuk membiasakan
pegawai dan renjer mengenai penguatkuasaan undang-undang, keselamatan
dan tanggungjawab penggunaan senjata api mengikut Akta Senjata Api 1960
(Akta 37).
“Ia menjadi semakin mencabar untuk
menguatkuasakan undang-undang hidupan liar kerana pemburu haram membawa
senjata api, termasuk senapang buatan sendiri atau ‘bakakuks’ di kawasan
perlindungan. Penggunaan senjata buatan sendiri adalah satu kesalahan
mengikut Akta Senjata Api 1960,” kata beliau dalam satu kenyataan hari
ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan
Liar Sabah Datuk Laurentius Ambu berkata, seorang renjer cedera manakala
dua kenderaan jabatan rosak teruk dalam satu operasi terhadap
perdagangan hidupan liar di sebuah ‘tamu’ (pasar terbuka) baru-baru ini.
Beliau berkata sekumpulan orang bertukar
ganas dan bertindak menghalang renjer jabatan daripada menjalankan
tugas mereka dengan melemparkan parang, batu dan tumbuhan.
Ambu turut menafikan beberapa renjer
telah menunjukkan senjata api seolah-olah mengancam peniaga semasa
operasi memandangkan mereka telah dilatih mengenai penggunaan senjata
api yang sesuai demi untuk mempertahankan diri.
Katanya, dalam satu operasi di Nabawan,
renjer Jabatan Hidupan Liar merampas pelbagai spesis binatang liar
terancam, termasuk rusa sambar, kijang dan musang dan menahan dua
lelaki.
Sesiapa yang bercadang untuk memburu
haiwan perlu memohon permit memburu, katanya sambil menambah mereka juga
perlu mempunyai lesen senjata api. – BERNAMA