Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya mengakui reputasi syarikat penerbangan negara terjejas selepas kehilangan MH370, terutamanya selepas mengalami kerugian.
Kehilangan misteri MH370 bukan sesuatu yang baik untuk MAS ketika ia berdepan dengan kerugian, Februari lalu syarikat tersebut mengumumkan kerugian RM1.17 bilion pada suku keempat berturut-turut untuk 2013.
“Kami masih ada banyak kerja perlu dilakukan,” kata Ahmad Jauhari dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Menurut Ahmad Jauhari, mana-mana syarikat penerbangan yang berdepan dengan krisis sekurang-kurangnya memerlukan enam bulan untuk memperbaiki reputasi mereka.
“Kami sudah pasti perlu bersatu hati bersama dan jika kamu mengetahui tentang penerbangan, ia ambil masa enam bulan untuk pulih daripada apa yang kita panggil isu reputasi pasaran,” katanya.
Perbelanjaan MAS juga terus meningkat sehingga 10% tahun lalu kepada RM14.9 bilion berikutan kenaikan harga minyak.
MAS mencatatkan kerugian paling besar dalam sejarahnya pada 2011 iaitu sebanyak RM2.52 bilion bersih.
Bagaimanapun mereka berjaya mengurangkannya pada 2012 kepada RM433 juta.
Dengan insiden terbaru melibatkan MH370, pengkritik tidak menolak MAS kemungkinan terpaksa mendapatkan bantuan daripada agensi pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, yang juga pemegang majoritinya.
Bagaimanapun, Ahmad Jauhari yakin reputasi MAS mampu dipulihkan dengan lebih cepat.
“Kami akan atasinya, malah akan atasinya lebih cepat.
“Dengan pengalaman kedudukan yang saya miliki, saya perlu lakukannya,” katanya.
Mengenai peletakan jawatannya, Ahmad Jauhari yang disoal wartawan semasa sidang media tidak memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai khabar angin tersebut.
MAS juga berdepan saingan sengit dengan pesaingnya syarikat tambang murah, AirAsia yang mencatatkan perolehan lebih baik baik berbanding mereka.
“Saya jangka ia akan beri kesan kepada sentimen pengguna,” kata penganalisis Hong Leong Investment Bank, Daniel Wong dipetik dalam Wall Street Journal selepas insiden MH370.
Selain itu, laporan juga mendedahkan pengguna yang menempah awal dengan MAS cuba menukar penerbangan mereka.
Misi mencari pesawat MH370 yang hilang memasuki hari ke-31 hari ini membabitkan 12 pesawat dan 14 kapal yang dijangka menerokai kawasan seluas 234,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. – The Malaysian Insider