BANDAR SERI BEGAWAN – Pemerintah
Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam mengumumkan bahawa negaranya
akan melaksanakan hukum hudud bermula pada hari ini.
“Dengan penuh keyakinan dan kesyukuran
kepada Allah Maha Besar, saya mengumumkan esok (hari ini) undang-undang
syariah fasa pertama akan dikuatkuasakan dan ia akan diikuti dengan
fasa-fasa seterusnya,” kata baginda dalam satu dekri diraja semalam.
Fasa pertama dan kedua akan bermula pada tahun ini manakala fasa seterusnya akan bermula pada tahun depan.
Pada fasa pertama, hukuman penjara dan
denda akan dilaksanakan antaranya untuk pesalah yang tidak menghadiri
solat Jumaat dan hamil di luar nikah.
Pada lewat tahun depan, hukuman seperti rejam dengan batu kerana kesalahan meliwat dan zina akan diperkenalkan.
Ekoran pengumuman tersebut, Brunei yang
kaya dengan minyak akan menjadi negara pertama di Timur Asia dan Asia
Tenggara yang memperkenalkan hukuman hudud.
Brunei menyertai kebanyakan negara di Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran dan Iraq yang turut menguatkuasakan hukuman itu.
Antara hukuman itu ialah tangan pencuri akan dipotong.
Kerajaan Brunei sebelum ini menangguhkan pelaksanaan hukum hudud selepas dikritik beberapa badan hak asasi antarabangsa.
Bagaimanapun, pemerintah berusia 67
tahun itu memutuskan untuk meneruskan perlaksanaan hukum hudud dan
menolak dakwaan bahawa undang-undang itu sebagai tidak adil.
“Ada pihak menuduh undang-undang
Allah ini kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri berfirman bahawa
undang-undang itu adalah adil,” ujar baginda lagi di sebuah pusat
konvensyen di sini.
Pemerintah Brunei itu merupakan antara
orang terkaya di dunia dan kekayaannya pernah dianggarkan majalah Forbes
berjumlah AS$20 bilion (RM65.28 bilion) pada tiga tahun lalu.
Sultan Hassanal Bolkiah juga dilaporkan mempunyai banyak koleksi kereta mewah dan istana yang dihiasi emas.
Baginda sebelum ini berselisihan faham
dengan adiknya, Putera Jefri Bolkiah yang didakwa menggelapkan wang
berjumlah AS$15 bilion (RM 48.98 bilion) ketika beliau menjadi Menteri
Kewangan pada 1990-an.
Brunei mempunyai kira-kira 400,000 orang penduduk dengan 70 peratus daripadanya merupakan penganut Islam. – Agensi