JAKARTA – Tentera Laut Nasional
Indonesia (TNI-AL) menghantar lima kapal perang dan sebuah helikopter
bagi membantu mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang ketika
dalam penerbangan ke Beijing, awal pagi semalam.
Ketua Staf TNI-AL, Laksamana Marsetio
berkata kesemua kapal perang yang dikerahkan itu akan bergabung dalam
Komando Armada Indonesia Kawasan Barat Tentera Laut Indonesia.
“Saya sudah berhubung dengan Panglima
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. Mereka
(TLDM) minta kita bantu mencari pesawat MAS yang dilaporkan tidak dapat
dihubungi itu,” kata Marsetio kepada agensi berita Antara pada Ahad.
Beliau berkata ada antara kapal perang
tentera laut negara itu yang sedang mengawal perairan sementara beberapa
buah lagi diarahkan menyertai misi mencari itu.
“Kami kerahkan kekuatan agar misi
pencarian ini dapat menunjukkan hasil. Kami juga sentiasa berhubung dan
berkongsi informasi dengan rakan antarabangsa dalam misi ini,” katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang
termasuk dua kanak-kanak dan 12 anak kapal, hilang daripada radar,
kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing, China pada 12.41 pagi Sabtu.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. – BERNAMA