Dua pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat mendarat di Pengkalan Tentera Udara Pearce di Perth, Australia hari ini untuk menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ia susulan kenyataan media oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kelmarin yang memaklumkan pasukan Malaysia akan dihantar ke Perth bagi menyertai misi berkenaan di selatan Lautan Hindi.
Operasi mencari kini bergerak ke sebuah lokasi baru lebih dekat dengan Perth kira-kira 1,850km berbanding lokasi asal pencarian iaitu 2,500km dari Perth.
Pesawat C-130 itu difahamkan membawa bersama 20 anggota pasukan Malaysia yang terdiri dari pelbagai agensi untuk bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang mengetuai misi di kawasan itu.
Sementara itu, hari ini Pesawat China mengesan tiga objek mencurigakan terapung di Lautan Hindi di dalam kawasan pencarian pesawat MH370.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pesawat tentera China Ilyushin IL-76 mengesan tiga objek terapung berwarna putih, merah dan oren, dari ketinggian 300 meter dari aras laut.
Kapal laut China telah diarahkan ke kawasan tersebut.