Polis sedang menyiasat para jurutera pesawat yang mempunyai kaitan tugas dengan kehilangan penerbangan Malaysia
Airlines (MAS) MH370 sebelum pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing,
Sabtu lepas.
“Sebagai prosedur biasa, polis sedang menyiasat semua anak kapal dan
penumpang MH370 serta jurutera,” kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.
Pesawat jenis Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal,
hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Sehingga ini, nasib penumpang dan anak kapal belum diketahui berikutan
operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan oleh beberapa negara masih
belum menemui pesawat tersebut.
Mengenai operasi SAR, Hishammuddin berkata pegawai Malaysia sedang meminta
bantuan daripada 15 buah negara di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara
Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor selatan dari utara Indonesia
sehingga selatan Lautan Hindi.
Beliau berkata negara-negera berkenaan ialah Kazakhstan, Uzbekistan,
Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos,
Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis.
“Pegawai Malaysia sedang berbincang dengan semua rakan kongsi cara terbaik
untuk menggunakan aset di sepanjang dua koridor tersebut,” katanya.
Hishammuddin berkata perbincangan tersebut termasuk meminta negara-negara
berkenaan terus menyediakan bantuan carian pesawat itu seperti data satelit dan
analisis, keupayaan carian di darat, data radar serta aset maritim dan udara. (Bernama)