PRK KAJANG: Saya NAK TENDANG Siapa Yang Bertanding Hanya Untuk Buat Kecoh!

PRK KAJANG: Saya NAK TENDANG Siapa Yang Bertanding Hanya Untuk Buat Kecoh!
Nama Datuk Ujang Bagong bukan nama asing bagi orang Kajang.
Pada tahun-tahun 1990an, berita mengenai sosok yang berkarakter dan berimej unik itu sering mengisi dada akhbar sama ada sebagai tokoh korporat ataupun sebagai aktivis masyarakat.
Umum juga mengenali Ujang sebagai seorang dermawan yang banyak menyumbang untuk masyarakat Kajang.
Namun beberapa tahun kebelakangan ini, Ujang @ Bujang Buyong @ Jislen Bagong tidak lagi diberi publisiti hingga ramai yang tertanya-tanya mengenai ‘kehilangannya’. Ada juga yang menyangka beliau sudah meninggal dunia.
“Tidak! Saya masih ada…,” katanya sambil tertawa ketika diajukan perkara itu.
Menurut Ujang, beliau bukan sengaja memencilkan diri tetapi agak terkesan dengan perubahan yang berlaku dalam hidupnya sejak isterinya, Datin Faridah Abdul Manan meninggal dunia sembilan tahun lalu.

“Sejak dia ‘pergi’ saya banyak mengisi masa untuknya, menziarahi pusaranya,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Pekan Kajang.
Menurut Ujang, sudah jadi rutin hariannya selepas menziarah pusara isteri di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, beliau ke masjid itu sehingga Zohor.
Walaupun sudah lama tidak jadi berita, tidak banyak yang berubah pada diri tokoh masyarakat berusia 82 tahun itu. Seperti dahulu, di lehernya masih tergantung dua kalung manik daripada kayu kokka manakala kepalanya pula ditutupi kopiah berlilit tulisan jawi.
Bagi mereka yang tidak pernah melihatnya, mungkin akan terasa sedikit janggal namun bagi penduduk Kajang malah seluruh daerah Hulu Langat, Datuk Ujang Bagong bukan sahaja cukup dikenali malah amat dihormati.
Rapat dengan Tunku Abdul Rahman
Anak jati Kampung Paya, Kajang ini dahulunya pernah berkhidmat sebagai pemandu kepada Pegawai Daerah Hulu Langat sebelum mula berkecimpung dalam perniagaan.
Kepayahan hidup dilalui beliau ketika zaman darurat sehingga bersara dari Rejimen Askar Melayu pada tahun 1960 menjadikan beliau seorang yang amat memahami kesusahan hidup orang lain.
Darah perwira masih mengalir dalam tubuh badannya dan beliau cukup sensitif isu-isu berkaitan orang Melayu.
Tidak hairanlah jika disingkap kembali sejarah, beliau sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab membayar wang jaminan bagi melepaskan Kiyai Arshad @ Arshad Mat Gamat yang menampar pemimpin pembangkang Karpal Singh atas sebab membuat kenyataan yang dikatakan menghina raja Melayu pada akhir 1980an.
Kini, meski terpaksa bertongkat ke sana ke mari, Ujang tetap bersemangat tinggi membantu penduduk yang menghadapi kesusahan.
Tidak kira kaum dan agama, kesusahan penduduk Kajang diutamakan dan beliau tidak lokek mengeluarkan berapa sahaja duit untuk membantu mereka.
Hormat dan kasihnya masyarakat Kajang kepada Ujang dapat dilihat sendiri wartawan kerana sepanjang menemubualnya di masjid itu, hampir tidak putus orang datang bersalam dan bertanya khabar mengenai dirinya, tua dan muda. Ternyata beliau cukup mesra dengan sesiapa sahaja.
Bercerita mengenai hubungannya dengan pemimpin negara, Ujang yang mahu dirinya dipanggil Atuk memberitahu, beliau rapat dengan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Atuk dengan Tunku berkawan begitu saja, bukan kita rapat dengan pemimpin untuk minta apa-apa kepentingan,” katanya.
Mengenai penglibatannya dalam dunia perniagaan, Ujang memberitahu, beliau mula berniaga dari bawah.
“Lepas pencen askar, Atuk guna duit simpanan RM5,000 untuk buka kedai bersama kawan. Itulah permulaan Atuk berniaga. Dari situlah Atuk tambah sikit-sikit besarkan perniagaan. Apa yang penting bagi Atuk, rezeki yang ada, Atuk kena kongsi dengan orang susah, tak boleh makan sorang,” katanya yang berketurunan Jawa, sama seperti kebanyakan penduduk asal Kajang yang lain.
Tiga komunis tumpas di tangannya
Nombor 5088-Itu angka paling diingati yang melekat di dada uniform askar pakaian seragamnya ketika beliau berkhidmat menentang komunis pada 1948.
Tiga pengganas tumpas ditangannya selepas diarah ketuanya melepaskan tembakan dalam satu serbuan di Jasin, Melaka.
“Atuk bekas askar, dari situlah Atuk belajar kenang dan menabur jasa kepada orang Melayu. Apa-apapun Atuk tetap akan pertahankan Islam dan Melayu,”katanya.
P9054453
Saksi pembangunan di Kajang
Mengenai Kajang, Ujang bersyukur kerana masih diberi daya melihat begitu banyak perubahan yang berlaku di tanah tumpah darahnya itu.
“Terlalu banyak. Dulu Kajang penuh belukar dan semak samun, sekarang jalan, bangunan, Jalan pula terlalu sesak,” katanya.
Dalam meniti kemajuan, Ujang tetap terkilan kerana hanya 20 peratus kekayaan ekonomi Kajang berada di tangan orang Melayu.
“Itupun mujur ada perniagaan sate yang masih dipegang orang Melayu,” katanya.
Populasi penduduk Kajang bertambah dari tahun ke tahun dan kebanyakan kawasan katanya dimonopoli kaum Cina.
Bekas Pegawai Penerangan Umno Hulu Langat ini kesal kerana ramai sebenarnya orang Melayu yang hidup kaya raya, duduk di rumah besar tetapi tidak menolong bangsa mereka sendiri.
Hubungan orang Melayu di Kajang katanya masih bersatu, cuma ada segelintir yang meminggirkan diri kerana kedudukan dan pangkat.
“Rumah mereka besar, tembok rumah tinggi jadi mereka ‘terpisah’ dengan kehidupan orang kampung,” rungutnya.
Tidak terkejut PRK diadakan
Mengambil tahu hal-hal semasa berlaku di Kajang, Ujang mengaku tidak sedikit pun terkejut dengan peletakan jawatan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh.
Mendakwa itu kehendak ALLAH, beliau mahu calon mempunyai daya intelek tinggi diletakkan bagi merebut kerusi dipertandingkan pada PRK kelak.
“Siapa baik, ada pengaruh banyak, dia menang…siapa tiada nama…kata orang boleh go lah! Calon nak bertanding mesti yang ada nama, tetapi bukan yang ada nama saja kita mahu, kita nak yang boleh tolong Melayu.
“Melayu apa pun tidak ada lagi…kuasa yang ada pun seolah-olah tiada nilai. Minta siapa calon yang menang bawa pembangunan dan kemajuan lebih baik kepada Kajang, jika tidak mahu bantu rakyat di sini, kita boleh tolak keluar,” katanya.
Ujang berkata, beliau menyokong calon Melayu yang sedia bantu tingkatkan ekonomi bangsa sendiri.
“Siapa yang masuk pilihan raya nak buat kecoh saja, bukan nak berkhidmat, saya orang pertama yang akan tendang si pembuat kecoh,” tegasnya menyuarakan amaran.
Perbezaaan politik dahulu dan sekarang
Dahulu katanya pemimpin dan rakyat bantu membantu, sama-sama bangkit tentang penjajah.
“Sekarang semangat tolong menolong sudah mulai lupus, ambil contoh Atuk saja. Apabila banyak duit, semua datang, bila susah, ‘hantu’ pun tidak mahu jumpa Atuk. Nak pinjam RM10 pun orang kata tiada duit sedangkan dalam poket penuh,”katanya berseloroh.
Mendakwa pejuangan politik kini lebih kepada duit dan projek, pemimpin dahulu dipilih bersandarkan iltizam membantu nasib kaum masing-masing.
*Nasihat kepada pengundi dan bakal wakil rakyat
Pengundi mesti bersatu-padu tidak kira bangsa meski mempunyai ideologi politik berbeza.
Katanya, bagi wakil rakyat yang menang pula, diharap dapat membantu rakyat Kajang yang menderita.
Isu utama di Kajang katanya adalah gerai peniaga Melayu banyak diroboh sewenangnya oleh majlis perbandaran.
“Saya minta perubahan lebih besar di Kajang, ekonomi orang Melayu perlu ditingkatkan.jangan tahu berjanji tetapi apa pun tiada.
“Pemimpin yang ‘kerjakan’ duit rakyat, kita beri amaran untuk buang mereka,”katanya. – SINAR HARIAN