SALAH seorang juri tetap MLM 2013, Sheikh Haikel juga artis dari Singapura mengakui terpaksa mengupah seorang pengawal beribadi selepas menerima ugutan bunuh angkara komennya yang tidak disenangi sesetengah peminat fanatik MLM 2013.
Jelas selebriti berusia 38 tahun ini, ekoran kritikan yang membina yang diberikan olehnya kepada para peserta di gelanggang MLM 2013, dia menerima ancaman bunuh menerusi laman media sosial dan semakin berhati-hati jika mahu bergerak kemana-mana mahupun berhadapan dengan peminat fanatik MLM menurut astrogempak.
“Baru-baru ini saya dan isteri telah menerima ugutan bunuh daripada peminat fanatik peserta dari MLM. Lebih mengejutkan, ugutan tersebut turut meilbatkan anak-anak saya. Peminat tersebut mengancam mahu langgar anak-anak saya jika kami sekeluarga berada di Malaysia. Saya amat terkejut juga dengan ancaman tersebut.
“Saya pun tidak berapa pasti komen yang mana saya berikan kepada peserta MLM sehingga mengguris hati individu tersebut sebagai salah seorang peminat fanatik. Secara jujurnya komen yang saya beri berdasarkan apa yang saya lihat dan bukan pedas atau hentam semata-mata,” jelas Sheikh Haikel.
Akibat daripada ancaman tersebut, Sheikh Haikel telah mengupah seorang pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan diri, keluarga dan dua anaknya.
“Saya telah mengupah seorang pengawal peribadi ketika berada di Malaysia semasa menjadi juri MLM malah di Singapura juga saya buat perkara demikian bagi menjaga keselamatan keluarga,” ujar Sheikh Haikel pendek.