Kuala Terengganu – Seorang murid
tahun satu terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam selepas kaki
kirinya tersepit di celah besi penutup longkang di Jalan Sultan Omar, di
sini, semalam.
Ibu mangsa, Noor Azlin Ibrahim, 39,
berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu dia memandu kenderaan
pelbagai guna PROTON Exora bersama dua anak, Nurhanisma Mahirah Mohd
Jusrizal, 7, dan Mohd Hanis Auni, 5, untuk mengambil anak sulungnya Noor
Khairina, 12, di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2, di Jalan Sultan
Omar, di sini.
Menurutnya, sebaik menjemput Noor
Khairina dia menuju kedai berhampiran membeli roti untuk minum petang
bersama anak di rumahnya di Jalan Tekukur, di sini.
Katanya, sebaik sampai di kedai berkenaan dia tidak sedar kereta diletakkan berhampiran penutup longkang.
“Nurhanisma ketika itu berada di sebelah
pemandu dan ketika keluar dari kereta kakinya terjerlus di celah besi
penutup longkang. - myMetro Online