KUALA TERENGGANU – Dek kerana
amarah, seorang remaja lelaki tergamak memukul ibunya sendiri dengan
batang besi dalam satu kejadian pada 12 Februari lalu.
Bagaimanapun, tindakannya itu akhirnya
membawa padah apabila berjaya ditangkap dan didakwa di Mahkamah
Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Berdasarkan pertuduhan, remaja berusia
16 tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada ibunya
yang berusia 45 tahun dengan sebatang besi, kira-kira jam 2.10 petang di
sebuah rumah di Kampung Pengadang Baru, di sini.
Dengan itu, dia didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh
dipenjarakan selama tempoh sampai tiga tahun atau denda atau sebat atau
mana-mana dua daripada seksaan itu.
Majistret, Rozianti Mohamed Hanaphi
kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin
sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
pada 23 Mac depan.
Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna. – Sinar Harian Online