KUALA LUMPUR - “Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong” adalah perbualan terakhir dalam transkrip antara pengawal trafik udara (ATC) dan kokpit pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Kementerian Pengangkutan malam Isnin.
Menurut kenyataan kementerian perbualan itu dirakamkan pada jam 0119 (waktu Malaysia) 8 Mac.
Kementerian Pengangkutan berkata
pihak berkuasa masih menjalankan penyiasatan forensik untuk menentukan
sama ada perkataan terakhir yang dirakamkan dari kokpit itu diucapkan
oleh juruterbang atau pembantu juruterbang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan persoalan yang dibangkitkan semasa sidang media
oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
pada Isnin berhubung komunikasi terakhir antara kokpit dan pengawal
trafik udara.
Kenyataan itu menyebut Hishammuddin juga
telah mengarahkan pasukan penyiasatan supaya mengeluarkan transkrip
penuh itu, yang akan diberikan semasa taklimat kepada anggota keluarga
penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370. – BERNAMA