MH370: Objek Oren Yang Dijumpai Tiada Kaitan, Cuma Peralatan Memancing

SAR
PERTH – Beberapa objek berwarna oren yang dilihat dari sebuah pesawat yang mencari Penerbangan MH370 didapati cuma peralatan memancing, kata beberapa pegawai Australia semalam.
Kru-kru pesawat P-3 Orion melihat sekurang-kurangnya empat objek oren bersaiz melebihi dua meter pada Ahad lalu.
Namun, jurucakap Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), Jesse Platts berkata, semua objek itu telah dianalisis dan disahkan tiada kaitan dengan pesawat Boeing 727-200ER milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang.
Perkembangan terbaharu itu meningkatkan lagi kekecewaan berhubung pencarian pesawat tersebut.
Pesawat berkenaan hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Ketika kejadian, kapal terbang MAS tersebut membawa seramai 227 penumpang dan 12 kru.
Menerusi radar, pesawat tersebut didapati berpatah balik semasa ia sepatutnya menghubungi menara kawalan trafik Vietnam.
Sebelum ini, petugas-petugas penyelamat telah melihat pelbagai objek terapung di zon pencarian di selatan Lautan Hindi tetapi kesemua penemuan tersebut kemudian disahkan sebagai tiada kaitan dengan Penerbangan MH370.
Dalam pada itu, usaha mencari kapal terbang MAS itu mengalami beberapa perubahan sejak tiga minggu lalu apabila pakar-pakar menukar zon pencarian dari perairan Vietnam ke pantai Malaysia barat dan Indonesia sebelum berpindah ke koridor selatan di perairan barat Australia.
“Operasi itu jelas amat sukar. Kami mencari di lautan yang luas dan berdasarkan maklumat terhad,” kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
Menurut Abbott, usaha mencari Penerbangan MH370 turut menggunakan teknologi tercanggih dan pakar-pakar terbaik dunia.
“Sekiranya misteri ini (kehilangan MH370) boleh dirungkai, kami akan merungkainya,” tambah Abbott.
Namun, katanya, sehingga kini pencarian pesawat yang hilang sejak lebih tiga minggu lalu itu dibuat berdasarkan anggaran dan tekaan bermaklumat.
“(Modus operandi ini akan diteruskan) Sehingga kami mengesan serpihan sebenar Penerbangan MH370 dan melakukan analisis yang boleh memberi petunjuk tentang lokasi pesawat itu di lautan,” jelas Perdana Menteri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 10 pesawat berada atau sedang menuju ke lokasi zon pencarian berkenaan di Lautan Hindi menjelang tengah hari semalam manakala 10 buah kapal turut meninjau di zon sama.
Zon pencarian tersebut terletak sekitar 1,850 kilometer ke barat Australia.
Lebih 100 kru melakukan tinjauan dari udara bersama 1,000 kelasi terlibat dalam operasi mencari pesawat hilang itu semalam.
Kawasan pencarian itu seluas 253,000 kilometer persegi itu.
Pesawat yang terlibat dalam operasi tersebut memerlukan masa dua setengah jam untuk ke lokasi berkenaan dan mempunyai masa mencari selama lima jam sebelum pulang ke Perth. – AP