ABC News hari ini melaporan pihak Pentagon percaya tindakan menutup dua sistem komunikasi dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang berlaku berasingan, memberi petunjuk ia dilakukan dengan sengaja.
Laporan agensi media itu juga memaklumkan dia pegawai Amerika Syarikat berkata, mereka percaya sistem laporan data ditutup pada pukul 1.07 pagi sementara alat transponder dipadamkan pada pukul 1.21 pagi Sabtu lepas.
Ia berlaku ketika pesawat yang diketahui membawa 239 orang penumpang itu hilang dari liputan radar.
“Ini menunjukkan ia mungkin tindakan yang disengajakan,” kata konsultan penerbangan, John Nance seperti dilaporkan oleh ABC.
Transponder adalah alat pada radar atau satelit yang menerima isyarat dan memancarkannya semula pada frekuensi yang berbeza, ini merupakan peralatan satelit untuk menerima isyarat dari sesebuah stesen lain ke bumi.
Menurut laporan itu, pasukan AS yakin wujudnya campur tangan secara manual, dan ia nampaknya bukan kemalangan atau kerosakan, yang menyebabkan pesawat itu hilang dari langit.
Terdahulu, dilaporkan bahawa satelit mengesan denyut elektronik yang lemah dari pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing itu selepas ia hilang pada Sabtu, tetapi isyarat itu tidak memberikan sebarang maklumat di mana arah pesawat tersasar itu.
Amerika Syarikat, yang turut menyertai operasi mencari pesawat hilang itu berkata, kawasan pencarian akan diluaskan ke Lautan Hindi, selaras dengan teori menyatakan kapal terbang itu mungkin beralih laluan ke barat selepas sejam berlepas dari Kuala Lumpur.