Tokyo – Dengan hanya memakai cawat, lebih 9,000 lelaki akan berebut bagi mendapatkan sebatang kayu yang dikatakan akan membawa tuah selama 12 bulan.
Dikenali sebagai perayaan bogel, mereka akan bertarung selepas sebatang kayu sepanjang 20 sentimer dengan ukur lilit 4 sentimeter itu dilemparkan oleh seorang sami di kuil Saidaiji.
Kayu yang dikenali sebagai shingi itu akan dibaling pada jarak setinggi empat meter menerusi tingkap.
Menurut amalan tradisi rakyat Jepun, sesiapa yang mendapat kayu itu dan menyimpannya dalam kotak kayu digelar masu, maka pemiliknya akan menikmati kebahagiaan dan tuah selama setahun.
Upacara itu, bermula sejak 500 tahun lalu ketika orang ramai berebut mendapatkan kertas azimat yang dilemparkan oleh sami.
Namun disebabkan kertas mudah koyak, maka ia digantikan dengan kayu dan setiap tahun bilangan mereka yang menyertai upacara ini semakin meningkat.