Walaupun 227 penumpang menempah tiket untuk menaiki pesawat MH370 8 Mac, empat daripada mereka tidak hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa hari penerbangan yang dijadualkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya berkata oleh kerana itu, MAS membenarkan empat penumpang dalam senarai menunggu untuk menaiki pesawat MH370 selepas empat penumpang asal tidak muncul.
“Ini bermaksud, empat orang mendaftar masuk dan bagasi mereka dihantarke dalam pesawat,” katanya semasa satu sidang media di Hotel Sama-Sama hari ini.
Kekeliruan penumpang MAS yang tidak menaiki pesawat tersebut bermula apabila Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata terdapat lima penumpang tidak menaiki penerbangan selepas mendaftar masuk.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin pula, berkata tidak ada kebenaran terhadap khabar angin bahawa lima penumpang tidak menaiki penerbangan MH370.
Beliau menegaskan hasil siasatan yang dijalankan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), kesemua penumpang menaiki pesawat.
Lebih kurang dua jam selepas Khalid membuat kenyataan tersebut, MAS mengeluarkan kenyataan hanya empat penumpang yang mempunyai tiket sah tidak muncul untuk daftar masuk.
Pesawat MH370 yang sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu dilaporkan hilang dari radar kira-kira pukul 1.40 pagi Sabtu. – Astroawani.com