KUALA LUMPUR – Sitkom 88 Kopitiam yang bersiaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM)
dihentikan sementara bagi menyiasat kesahihan dakwaan pembabitan
pelakonnya dalam klip video yang dikatakan mencemar imej negara.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati
Ismail berkata RTM akan memanggil penerbit rancangan berkenaan dalam
masa terdekat untuk mengesahkan pembabitan pelakon tersebut.
“Ini untuk memastikan tiada sebarang
pihak teraniaya atau dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai
mengulas dakwaan yang mengaitkan pelakon sitkom berkenaan dengan video
yang mencemar imej negara.
Video yang disiarkan melalui media sosial sempena Tahun Baharu Cina itu membabitkan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Sitkom 88 Kopitiam disiarkan menerusi
TV2 pada setiap Isnin, pukul 7 malam dan mengetengahkan isi-isu semasa
dalam kalangan masyarakat Cina berlatarkan kopitiam dengan konsep komedi
bersahaja.
Norhyati berkata RTM akan mengkaji mana-mana rancangan yang mengaitkan pelakonnya dengan aktiviti yang memburuk-burukkan nama dan imej negara.
RTM tidak akan teragak-agak untuk
mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelakon yang terlibat dengan
penerbitan program sedemikian, katanya. - BERNAMA