Aktres Nora Danish
tidak mementingkan soal barang hantaran untuk hari perkahwinannya.
Sebaliknya dia mahu melaksanakan yang wajib sahaja iaitu cukup dengan
acara akad nikad. Kemudian dia berhasrat mengadakan sebuah majlis secara
sederhana untuk meraikan hari bahagianya itu di sebuah pulau di luar
negara.
“Memandangkan saya pernah berkahwin
sebelum ini, jadi bagi saya tak perlu lagi dah nak barang-barang
hantaran. Kalau ditakdirkan saya berkahwin lagi satu hari nanti,
sebolehnya saya nak buat yang wajib sahaja iaitu cukup dengan majlis
akad nikah di Kuala Lumpur. Kemudian saya nak adakan majlis secara
kecilan di pulau, kemungkinan di Bali.
“Lagipun saya memang dah lama
teringin nak buat majlis ala ‘beach wedding’. Saya suka berkunjung ke
Bali malah ia dah seperti rumah kedua saya. Saya sukakan
tempat-tempatnya dan makanan di sana sedap-sedap”, kata Nora Danish
kepada Malaysia Digest ketika ditemui pada majlis Doa Selamat sempena
penggambaran filem terbaru terbitan MIG, ‘Hantu Bungkus Ikat Tepi’, bertempat di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya, semalam.
Empunya nama sebenar Nora Mohd Danish
Hanif, 31, ini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gosip
di sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang menyebut, dia kononnya
sudah membeli barang-barang hantaran. Sekaligus membuat persiapan
sedikit demi sedikit untuk mengahwini teman lelakinya, Nedim Nazri,
dalam tahun ini.
Menafikan hal tersebut, Nora berkata dia
tidak membuat sebarang persiapan untuk perkahwinan termasuklah membeli
barang-barang hantaran seperti yang didakwa.
“Saya tak pernah beli barang-barang
hantaran. Saya tak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul sebab saya
memang tak ada langsung membuat persiapan.
“Malah kami tak pernah berbincang soal
kahwin. Apa yang penting, kami fokus pada kerjaya dan anak
masing-masing. Itu yang buat kami selesa antara satu sama lain. Kami
sebenarnya lebih suka bergelar kawan biasa. Memang lah kahwin ni satu
perkara yang baik. Tapi Allah belum tetapkan lagi jodoh kami. Harap
semua orang dapat mendoakan yang terbaik untuk saya”, tuturnya.
Perkembangan lain, Nora bakal sibuk di
lokasi penggambaran filem komedi seram berjudul ‘Hantu Bonceng Ikat
Tepi’. Filem arahan Hashim Rejab itu akan memulakan penggambaran di
sekitar lembah Klang pada 23 Februari ini.
Selain Nora antara barisan pelakon lain
yang turut menjayakan filem ini seperti kumpulan Jambu iaitu Taukeh dan
Yus, Abam (Bocey), Farid Kamil, Kartina Aziz, Zalif Sidek, Atikah
Suhaime, Ruminah Sidek, Niezam Zaidi dan ramai lagi. – Malaysian Digest