Tony Jawab MAHB: Saya Tahu Tentang Muzium, Spa Saya Tak Tahu!

Tony Jawab MAHB: Saya Tahu Tentang Muzium, Spa Saya Tak Tahu!
KUALA LUMPUR –  AirAsia menangguhkan perpindahan operasinya ke KLIA2 bagi memastikan terminal baru itu selamat digunakan sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan kepada laman web The Malaysian Insider.
Bagi menjawab dakwaan Pengurus Besar Kanan (perkhidmatan operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Azmi Murad yang berkata bahawa syarikat penerbangan tambang murah itu mahukan muzium dan spa, Tony menganggapnya sebagai satu kenyataan “lucu”.
“Saya tahu tentang muzium. Ia adalah bagi memupuk minat kanak-kanak kepada dunia penerbangan. Spa, saya tidak tahu,” tambah Tony.
“Tetapi perkara utama adalah kami mahukan terminal penerbangan tambang rendah baharu yang selamat. Kami hanya mahukan terminal yang murah untuk pengguna dan menepati masa. MAHB telah gagal kedua-duanya.
“Ia mengambil masa dua bulan sebelum kami berpindah ke LCCT. Kami perlukan masa. Sukar untuk saya percaya bahawa sebuah lapangan terbang yang tertangguh pembinaannya sehingga tiga tahun dengan peningkatan kos dari RM2 bilion ke 4 bilion, mempunyai kredibiliti.
“Kami akan keluarkan kenyataan yang jelas. Tidak timbul soalan tentang berpindah, hanya tentang masa dan memastikan ia murah untuk pengguna kerana ia sepatutnya adalah terminal kos rendah, kata beliau.
Sebelum ini Azmi berkata MAHB telah memenuhi hampir kesemua kehendak AirAsia Bhd untuk syarikat itu beroperasi dari terminal penerbangan tambang rendah baharu, KLIA2.
Antara beberapa perkara yang dikehendaki AirAsia dan tidak dipenuhi MAHB ialah spa dan muzium, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Berikutan operasi penerbangan di KLIA2 bermula pada 2 Mei dan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) sedia ada ditutup pada 9 Mei, AirAsia tiada pilihan melainkan beroperasi dari lapangan terbang baharu itu.

PM Singapura - Pilih Teh Halia, Keropok Lekor Di Bangsar

PM Singapura pilih teh halia, keropok lekor

KUALA LUMPUR – Teh halia dan keropok lekor menjadi pilihan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching apabila singgah minum petang di sebuah restoran di sini, hari ini.
Lee, yang tiba hari ini untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia, singgah di Chawan Cafe di Jalan Telawi 3, restoran yang terkenal dengan sajian tempatan, selepas bersiar-siar di pusat beli-belah Bangsar Village yang terletak berhampiran restoran itu.
Selepas menikmati hidangan teh untuk seketika, beliau dan isteri kembali ke hotel penginapan mereka pada 6.30 petang.
Ketibaan Lee dan isteri di pusat beli-belah itu disambut oleh Ketua Operasi Bangsar Sdn Bhd David Wong.
Pada mulanya, ramai yang tidak sedar kehadiran Perdana MenteriSingapura itu namun, selepas menyedarinya, mereka mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama Lee yang kelihatan mesra dan tidak keberatan memenuhi permintaan mereka.
Terdahulu, Lee yang berpakaian kasual dengan baju kemeja merah jambu dan isterinya meluangkan masa bersiar di kawasan beli-belah Bukit Bintang, dan Pavillion ialah antara gedung yang dikunjungi mereka.
image (1)

Bisnes ‘Menangis’ Waktu Pengkebumian Makin Berkembang Di China

lakon
CHINA – Penduduk di China kini menggunakan pelakon yang diupah bagi menangis pada upacara pengebumian, bagi mengambil alih tugas ahli keluarga yang sibuk untuk menghadiri upacara tersebut.
Dengan bayaran sebanyak £300, tujuh pelakon profesional akan menangis dengan kuat, seperti yang diamalkan dalam ritual pengebumian dan turut menggalakkan orang ramai menyertainya.
Jika tiada tangisan kedengaran, maka ia menunjukkan bahawa si mati tidak disayangi oleh anggota keluarga.
Menurut salah seorang pelakon terbabit, Chen Shuqiang, 35, perniagaan berkenaan semakin berkembang dengan pelakon wanita menjadi pilihan berbanding dengan lelaki.
“Mereka minta kita meraung dan bersedih dengan kematian anggota keluarga mereka.
“Aksi menangis sambil merebahkan badan di hadapan keranda lebih popular, terutama ketika keranda itu akan dibawa pergi untuk pengebumian,’’ katanya.
Pelanggan akan membayar sebanyak £300 untuk pakej asas termasuk tujuh pelakon.
“Saya pernah menjadi penyanyi untuk kumpulan opera namun sukar untuk mendapatkan wang dengan menyanyi. Akhirnya saya menukar kerjaya dan menggunakan suara untuk menangis,’’ kata Chen.