KUALA LUMPUR – Teh halia dan keropok lekor menjadi pilihan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching apabila singgah minum petang di sebuah restoran di sini, hari ini.
Lee, yang tiba hari ini untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia, singgah di Chawan Cafe di Jalan Telawi 3, restoran yang terkenal dengan sajian tempatan, selepas bersiar-siar di pusat beli-belah Bangsar Village yang terletak berhampiran restoran itu.
Selepas menikmati hidangan teh untuk seketika, beliau dan isteri kembali ke hotel penginapan mereka pada 6.30 petang.
Ketibaan Lee dan isteri di pusat beli-belah itu disambut oleh Ketua Operasi Bangsar Sdn Bhd David Wong.
Pada mulanya, ramai yang tidak sedar kehadiran Perdana MenteriSingapura itu namun, selepas menyedarinya, mereka mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama Lee yang kelihatan mesra dan tidak keberatan memenuhi permintaan mereka.
Terdahulu, Lee yang berpakaian kasual dengan baju kemeja merah jambu dan isterinya meluangkan masa bersiar di kawasan beli-belah Bukit Bintang, dan Pavillion ialah antara gedung yang dikunjungi mereka.
Semasa berjalan di sepanjang laluan gedung di Bukit Bintang, Lee dan isteri tidak melepaskan peluang untuk merasai keenakan ais krim Turki, yang dibeli dari gerai ais krim ‘A la Turka’.
Pengarah urusan gerai ais krim itu, Samet Aksoz dari Turki berkata beliau berasa sungguh bertuah kerana berpeluang bertemu Lee.
“Kesempatan melayan Lee dengan hidangan ais krim memberi makna yang besar kepada diri saya,” katanya.
Lee tiba di Bukit Bintang kira-kira 4.45 petang dan berjalan kira-kira 500 meter dari pusat beli-belah Pavilion ke Lot 10 sebelum beredar ke Bangsar.
Semasa di Pavillion, Lee diberi penerangan ringkas oleh Pengarah Pemasaran pusat beli-belah itu, Kung Suan Ai, yang turut mengiringinya semasa melawatsekitar gedung beli-belah itu.
Lee tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 2.20 petang untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelima di Putrajaya esok.
Malam tadi, Lee dan isteri diraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis jamuan rasmi di River Cruise Tasik, Putrajaya.
Esok, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Najib di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebelum berlepas pulang.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pemukiman itu merupakan platform bagi pemimpin kedua-dua negara mengkaji kerjasama dua hala Malaysia dan Singapura.
Ia juga memberi peluang kepada pemimpin berkenaan untuk meneroka dan membincang inisiatif baharu selain kerjasama selanjutnya. – Bernama