Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) - Teruskan Operasi Mengesan #MH370

(RSAF)
SINGAPURA – Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) terus mengambil bahagian dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dengan menggunakan dua pesawat C130 Hercules dan sebuah helikopter tentera laut Sikorsky S-70B.
“Helikopter tentera laut kami menjalankan operasi bersama Kapal Perang Tentera Laut Republik Singapura dalam operasi mencari dan menyelamat itu. Anggota tentera udara kami menaiki C130 akan meneliti tempat yang lebih 20 kali ganda keluasan Singapura,” jelas RSAF menerusi Facebook pada Isnin.
RSAF berkata anggota tentera udara akan mengambil gambar dan menggugurkan penanda marin untuk kapal serta helikopter mengadakan pemeriksaan lanjut jika ternampak objek yang menarik perhatian. – BERNAMA

Gua Baru Diberi Nama ‘Gua MH370′ - SEMPENA insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

1003GuaMH370
SEMPENA insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang sudah masuk hari ketiga, sekumpulan pakar penjelajah gua memberi nama gua baru yang ditemui mereka sebagai  “Gua MH370″.
Kumpulan itu yang menggelarkan diri mereka sebagai Bornea Spelunker (Pasukan Jelajah Dan Pemulihan Gua) mengumumkan perkara itu di laman Facebook.
Seorang daripada anggota pasukan itu merupakan pakar jelajah gua iaitu Laili Basir yang bertanggungjawab memperjuangkan nasib beberapa gua di daerah Merapoh di Pahang yang pada satu ketika baru-baru ini menghadapi risiko musnah akibat pembukaan kilang simen yang kemudiannya dihentikan.
Gua MH370 ditemui di Pulau Balambangan, Sabah pada 8 Mac lepas.
Pasukan itu diketuai oleh pakar penjelajah gua iaitu Papi Johntoy John.
Nama itu sebagai menghormati kejadian yang jarang berlaku melibatkan pesawat MH370 yang terputus dari hubungan radar dengan menara kawalan Subang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada awal pagi Sabtu lepas.
MAS dalam kenyataan pertamanya dalam insiden itu memaklumkan bahawa pesawat berkenaan hilang dari radar pada pukul 2.40 pagi.
Seluruh dunia memberi tumpuan kepada insiden ini kerana ia jarang berlaku kerana MH370 hilang tanpa sebarang petanda terutamanya daripada juruterbangnya iaitu Kapten Zaharie Ahmad Shah yang mungkin ada memaklumkan berkenaan sebarang kecemasan dalam pesawat kendaliannya.

Terkini - Keadaan Emosi Keluarga Penumpang MH370 Masih Stabil

family

Dalam menghadapi insiden kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini masih tidak ditemui, pastinya emosi ahli keluarga serta waris penumpang yang paling menerima kesannya disebabkan kejadian malang tersebut.
Sehubungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun menyediakan sejumlah besar kaunselor terlatih untuk memberikan sokongan moral kepada mereka yang terlibat.
Setakat ini, emosi yang ditunjukkan ahli keluarga yang terlibat menunjukkan perkembangan positif dan stabil berbanding hari pertama kehilangan pesawat yang dipandu Kapten Zaharie Mohd Shah itu.
Menurut Pengerusi Malaysian Crisis Intervention Team (MCIT), Prof. Dr. Abd Halim Mohd Hussin yang dipetik akhbar tempatan, “mereka kini lebih tenang dan semakin positif dengan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku”.
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat dan sepatutnya dijadual tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu.
Oleh: AUDREY LEE