SEGERA: Pelakon Veteran Sidek Hussain Meninggal Dunia

SEGERA: Pelakon Veteran Sidek Hussain Meninggal Dunia
Kuala Lumpur  - Pelakon veteran Sidek Hussain, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11.55 malam tadi, akibat kanser tahap empat.
Sidek dimasukkan ke HKL pada 30 Mac lalu sejurus pengsan di ibu negara ketika membeli barang untuk cucunya dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan ketumbuhan pada pipinya sejak lebih tiga dekad lalu itu sejenis kanser pada bulan ini.
Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu pada peringkat permulaannya muncul ketika Sidek berusia dalam lingkungan 20-an.
Pada Jun lalu, Sidek sempat mengerjakan umrah dan dia mengalami susut berat badan serius serta semakin lemah berikutan hilang selera makan. – Harian Metro

Terkejut - Hampir Terpijak Ular Sawa Seberat 120kg



Ular

JASIN – Hasrat seorang pemuda mahu memadam kebakaran di kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Paya Tanjung, dekat sini terbantut apabila dia hampir terpijak seekor ular sawa sepanjang kira-kira 8 meter, petang kelmarin.
Reduan Ahmad, 44, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ijoi memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak menyangka benda yang bergerak-gerak di sebelah kakinya itu rupa-rupanya seekor ular sawa seberat 120 kilogram.
Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakannya ke lokasi berkenaan dan berusaha menarik ular sawa ke tempat lebih selamat kerana bimbang reptilia itu melarikan diri, sebelum menghubungi bomba dan penyelamat.
“Reptilia itu berada di kawasan kebun getah kerana ingin menyelamatkan diri dari kebakaran di kebun kepala sawit berhampiran.
“Belum pernah kami melihat ular sebesar itu sehingga kami terpaksa menggunakan enam orang untuk menarik dan mengikat reptilia itu sementara menunggu pihak bomba datang,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Operasi yang juga Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba Merlimau, Yahya Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 7.22 petang sebelum dua orang anggota bomba menaiki pacuan empat roda bergegas ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan saiz reptilia itu sangat besar, sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota terpaksa dikerah ke tempat kejadian dan berjaya menjinak serta menangkap ular sawa tersebut dalam tempoh 10 minit.
“Ketika operasi dilakukan reptilia itu tidak terlalu agresif dan tiada masalah untuk pihak kami menangkapnya dan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan atau Zoo Melaka dalam masa terdekat ini,” katanya. - Sinar Harian Online

Pertemuan - Najib ‘Selfie’ Bersama Obama

selfie najib obama
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempat ‘selfie’ bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama selepas mengadakan pertemuan empat mata di Seri Perdana di sini, Ahad.
Kedua-dua pemimpin itu dilihat bersahaja ketika bergambar dan Perdana Menteri berkongsi saat penuh bermakna untuk negara dan rakyat menerusi Twitter beliau kira-kira pukul 1.35 petang.
Mereka turut mengadakan sidang media bersama yang memberi tumpuan terhadap hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang disifatkan jalinan yang sudah lama dan akrab.
Obama berada di Malaysia selama tiga hari bermula Sabtu sempena lawatan rangka kerja beliau di empat negara di Asia selain Jepun, Korea Selatan dan Filipina.
Beliau akan berlepas ke Filipina pada Isnin. – mStar Online