Terkejut - Hampir Terpijak Ular Sawa Seberat 120kg



Ular

JASIN – Hasrat seorang pemuda mahu memadam kebakaran di kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Paya Tanjung, dekat sini terbantut apabila dia hampir terpijak seekor ular sawa sepanjang kira-kira 8 meter, petang kelmarin.
Reduan Ahmad, 44, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ijoi memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak menyangka benda yang bergerak-gerak di sebelah kakinya itu rupa-rupanya seekor ular sawa seberat 120 kilogram.
Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakannya ke lokasi berkenaan dan berusaha menarik ular sawa ke tempat lebih selamat kerana bimbang reptilia itu melarikan diri, sebelum menghubungi bomba dan penyelamat.
“Reptilia itu berada di kawasan kebun getah kerana ingin menyelamatkan diri dari kebakaran di kebun kepala sawit berhampiran.
“Belum pernah kami melihat ular sebesar itu sehingga kami terpaksa menggunakan enam orang untuk menarik dan mengikat reptilia itu sementara menunggu pihak bomba datang,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Operasi yang juga Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba Merlimau, Yahya Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 7.22 petang sebelum dua orang anggota bomba menaiki pacuan empat roda bergegas ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan saiz reptilia itu sangat besar, sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota terpaksa dikerah ke tempat kejadian dan berjaya menjinak serta menangkap ular sawa tersebut dalam tempoh 10 minit.
“Ketika operasi dilakukan reptilia itu tidak terlalu agresif dan tiada masalah untuk pihak kami menangkapnya dan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan atau Zoo Melaka dalam masa terdekat ini,” katanya. - Sinar Harian Online

Pertemuan - Najib ‘Selfie’ Bersama Obama

selfie najib obama
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempat ‘selfie’ bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama selepas mengadakan pertemuan empat mata di Seri Perdana di sini, Ahad.
Kedua-dua pemimpin itu dilihat bersahaja ketika bergambar dan Perdana Menteri berkongsi saat penuh bermakna untuk negara dan rakyat menerusi Twitter beliau kira-kira pukul 1.35 petang.
Mereka turut mengadakan sidang media bersama yang memberi tumpuan terhadap hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang disifatkan jalinan yang sudah lama dan akrab.
Obama berada di Malaysia selama tiga hari bermula Sabtu sempena lawatan rangka kerja beliau di empat negara di Asia selain Jepun, Korea Selatan dan Filipina.
Beliau akan berlepas ke Filipina pada Isnin. – mStar Online

Ajalnya Dimana2 - Pengantin Perempuan Mati Tiga Jam Sebelum Bersanding

pelamin
Ternyata kegembiraan sepasang pengantin baru tidak berpanjangan apabila pengantin perempuan, Junaida Jamaludin, 29, telah disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam sebelum majlis persandingan mereka, semalam.
Menerusi laporan sebuah akhbar harian, Junaida ditemui meninggal dunia dengan keadaan hidung dan mulut berdarah di bilik pengantin di rumahnya di Petaling Jaya, pada jam 8.30 pagi.
Sehari sebelum itu, Junaida selamat dinikahkan dengan Muhammad Danial Zainal Abidin, 30, dan majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Gemilang Yayasan Felda, Kelana Jaya, jam 11.30 pagi.
Menurut abang Junaida, Kamarul Affendi Jamaludin, 38, mereka sekeluarga menyangkakan adik bongsunya itu sudah pergi ke dewan persandingan terlebih dahulu namun sangkaan mereka meleset apabila menyedari Junaida tidak berada di situ.
“Pagi tadi (semalam) saya ingat Junaida telah pergi ke dewan lebih awal tetapi sangkaan kami meleset sebab dia tiada di situ.
“Kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya cuba memeriksa dia di bilik dan ketika itu saya nampak dia masih berada di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Jelasnya, dia menyangka Junaida masih tidur kerana kepenatan tetapi terkejut apabila mendapati hidung dan mulut anak bongsu daripada empat beradik itu berdarah.
“Kami terus membawa Junaida ke hospital berhampiran tetapi dia disahkan meninggal dunia akibat masalah pendarahan dalaman,” katanya sedih.
Al-Fatihah.- MYNEWSHUB.MY
Oleh: AUDREY LEE