Ternyata kegembiraan sepasang pengantin baru tidak berpanjangan
apabila pengantin perempuan, Junaida Jamaludin, 29, telah disahkan
meninggal dunia kira-kira tiga jam sebelum majlis persandingan mereka,
semalam.
Menerusi laporan sebuah akhbar harian, Junaida ditemui meninggal
dunia dengan keadaan hidung dan mulut berdarah di bilik pengantin di
rumahnya di Petaling Jaya, pada jam 8.30 pagi.
Sehari sebelum itu, Junaida selamat dinikahkan dengan Muhammad Danial
Zainal Abidin, 30, dan majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung
di Dewan Gemilang Yayasan Felda, Kelana Jaya, jam 11.30 pagi.
Menurut abang Junaida, Kamarul Affendi Jamaludin, 38, mereka
sekeluarga menyangkakan adik bongsunya itu sudah pergi ke dewan
persandingan terlebih dahulu namun sangkaan mereka meleset apabila
menyedari Junaida tidak berada di situ.
“Pagi tadi (semalam) saya ingat Junaida telah pergi ke dewan lebih awal tetapi sangkaan kami meleset sebab dia tiada di situ.
“Kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya cuba memeriksa
dia di bilik dan ketika itu saya nampak dia masih berada di atas katil,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Jelasnya, dia menyangka Junaida masih tidur kerana kepenatan
tetapi terkejut apabila mendapati hidung dan mulut anak bongsu daripada
empat beradik itu berdarah.
“Kami terus membawa Junaida ke hospital berhampiran tetapi dia disahkan meninggal dunia akibat masalah pendarahan dalaman,” katanya sedih.
Al-Fatihah.- MYNEWSHUB.MY
Oleh: AUDREY LEE
SEREMBAN – Tindakan seorang lelaki meninggalkan dua anak
kecilnya berusia 1 dan 3 tahun dalam kereta ketika berurusan di bank,
nyaris mengundang padah apabila kedua-duanya terperangkap dalam
kenderaan itu hampir sejam.
Kejadian kira-kira 8.40 pagi di hadapan sebuah bank dekat Garden
Homes, Seremban 2, di sini, berlaku selepas kenderaan pelbagai guna
(MPV) jenis Perodua Alza yang enjinnya masih hidup, terkunci dari dalam
menyebabkan anggota bomba dan penyelamat dipanggil bantu menyelamat.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Md Zin Salleh berkata, sebuah
jentera membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat
Seremban 2 dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima
panggilan kecemasan kira-kira 10 minit kemudian.
Setibanya di lokasi kejadian, katanya, bomba mendapati kedua-dua
kanak-kanak terbabit sedang leka bermain sesama sendiri, manakala
kenderaan milik mangsa sudah dikerumuni orang ramai.
“Kita cuba memanggil dan menarik perhatian kedua-duanya,
lebih-lebih lagi si abang supaya membuka kunci pintu dari dalam, tetapi
tidak berjaya berikutan kedua-duanya masih kecil dan belum memahami
insiden menimpa mereka.
“Cubaan kita membuka kesemua pintu guna dawai besi juga tidak
berhasil akibat dihalang sistem keselamatan pada MPV itu,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.
Md Zin berkata, keadaan itu memaksa si bapa pulang ke rumah di Taman
Bukit Galena, kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian dengan menaiki
van bomba untuk mengambil kunci pendua.
“Beberapa anggota juga pergi bersamanya untuk menghulurkan bantuan
jika diperlukan, memandangkan si bapa turut tertinggal kunci rumah dalam
kenderaan itu.
“Tindakan memecahkan tingkap merupakan jalan terakhir sekiranya
keadaan benar-benar mendesak, misalnya si bapa gagal menjumpai kunci
pendua atau kedua-dua anaknya mula tidak sedarkan diri akibat lemas,”
katanya.
Menurutnya, masalah itu bagaimanapun dapat diselesaikan kira-kira 45
minit kemudian apabila si bapa datang kembali bersama kunci pendua.
“Pemeriksaan ringkas kita terhadap kedua-duanya mendapati masing-masing dalam keadaan sihat.
“Justeru, kita ingin mengingatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan
anak-anak dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa, seperti berlaku
hari ini (semalam) bagi elakkan perkara tidak diingini,” katanya. – Sinar Harian
Kuala Lumpur – Cinta membuta tuli terhadap kekasih ‘awang
hitam’ membuatkan dua wanita tempatan sanggup menangis dan memaki
anggota polis ketika kekasih mereka ditahan dalam Ops Tiong Bersepadu di
sekitar kawasan kondominium, di Taman Connaught, Cheras, di sini awal
pagi semalam.
Seorang daripada wanita tempatan itu dipercayai janda serta
menguruskan perniagaan restoran yang biasa dikunjungi warga Afrika
manakala seorang lagi wanita pula menjalinkan hubungan cinta dengan
seorang lelaki Nigeria. Masing-masing berusia 20 dan 40 tahun.
Dalam Ops Tiong Bersepadu yang dijalankan bermula jam 12.30
tengah malam hingga 7 pagi itu, 26 lelaki dan empat wanita warga Afrika
ditahan manakala seorang wanita tempatan pula dibebaskan selepas disoal
siasat kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan cinta Internet
atau Love Scam selain pelbagai kesalahan Imigresen.
Timbalan Pengarah Operasi dan Risikan Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, wanita tempatan
biasanya dipercayai dipergunakan kekasih awang hitam untuk menjalankan
penipuan mereka sebelum ditawarkan kehidupan mewah menyebabkan mereka
terjebak.
Katanya, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan
Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM). – Harian Metro