HARI ini pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein - TURUN PADANG Sertai Operasi SAR #MH370

1103Hishammuddin370

HARI ini pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama-sama menyertai anggota mencari dan menyelamat untuk mencari lokasi di mana pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sedang berada pada ketika ini.
Dua gambar beliau hari ini disiarkan twitter sebuah agensi media dan seorang pengguna laman media sosial itu.
Gambar pertama menunjukkan beliau bersama-sama juruterbang pesawat Charlie C130 sedang dalam operasi berkenaan yang sudah masuk hari keempat.
Gambar kedua menunjukkan Hishammuddin sedang duduk di atas lantai pesawat sambil meneliti kawasan yang ditentukan untuk dicari bagi mengesan lokasi pesawat Boeing 777-200ER itu.
1103MH37002Beliau yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini pernah berkata bahawa beliau sudah berjanji kepada para ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan bahawa keutamaan negara ketika ini ialah untuk mencari di mana MH370.
Hishammuddin juga sudah berikrar tidak akan berlepas ke Beijing, China bagi menemui ahli keluarga di sana selagi pesawat berkenaan belum ditemui.
Pesawat MH370 pada awal pagi Sabtu lepas dalam penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berlepas pada pukul 12.40 tengah malam dan dijangka mendarat pada pukul 6.30 pagi bagaimanapun ia tidak mendarat seperti jadual.
Sehingga hari ini masih tiada sebarang petanda di mana lokasi sebenar MH370. – MYNEWSHUB.MY

Eksklusif: Pasukan Penyiasat China Tumpu Kepada Juruterbang Dalam Kes Misteri MH370

www.mynewshub.my
Sumber dalaman pasukan penyiasat China dalam kes kehilangan misteri MH370 memberitahu Mynewshub, pasukan itu turut memfokuskan penyiasatan mereka terhadap juruterbang pesawat berkenaan, Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Fokus itu berikutan tindakan juruterbang berkenaan membina alat simulasi penerbangan sendiri di rumahnya.
“Apakah tujuan seorang kapten kapal yang sudah berpuluh tahun berkhidmat dan memiliki 18,000 jam lebih masa penerbangan mencipta alat simulasi sendiri di rumahnya?
“Apakah dia tidak puas lagi menaik dan menurunkan kapal terbang atau dia sedang berlatih untuk mendaratkan kapal di kawasan luar landasan sebenar, semua aspek itu perlu diambil kira” kata sumber itu dalam perbualan melalui telefon.
(BACA – Zaharie Bina Simulasi Sendiri Di Rumah)
Sebelum ini, data pemantauan awal yang diperiksa oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon mendapati pesawat MH370 yang hilang pagi Sabtu, tidak meletup di Laut China Selatan.
Menurut laporan The New York Times, yang memetik sumber seorang pegawai kerajaan negara itu, satu sistem yang memantau letupan di seluruh dunia telah digunakan untuk pemantauan awal tersebut namun ia tidak mengesan sebarang tanda letupan di kawasan perairan itu.
Pegawai yang ditemuramah oleh The New York Times itu bagaimanapun enggan mendedahkan namanya atas alasan maklumat yang diberi adalah sulit.
Lebih menimbulkan misteri ialah tiada sebarang panggilan kecemasan yang dibuat kapten kapal berkenaan dan masuk hari ke-4, belum ada satu serpihan kecil pun yang ditemui.
Sehingga kini, segala bukti memperlihatkan kapal terbang berkenaan memang tidak meletup di udara.
Manakala dakwaan seorang nelayan tempatan yang melihat sebuah kapal yang menepati deskripsi MH370 terbang rendah pada malam kejadian turut menimbulkan spekulasi apakah ia cuba mengelak dari dikesan oleh radar.
Laporan ahli keluarga warga China dikatakan berjaya menghubungi telefon bimbit milik abangnya yang dikatakan berada di atas MH370 menambahkan lagi misteri dan menarik minat pasukan penyiasat China.
Telefon berkenaan yang dikatakan berdering kemudian seperti dijawab namun kemudian terus terputus tanpa ada kedengaran apa-apa suara.
Ahli keluarga berkenaan dikatakan telah memaklumkan mengenai perkembangan itu di dalam laman web MAS dalam satu ruang perbincangan dan siasatan berkenaan perkara itu dijalankan oleh syarikat penerbangan terbabit.
Kejadian itu turut dilaporkan oleh laman web LiveLeak.com.
(BACA – Keluarga Berjaya Hubungi Telefon Bimbit Penumpang? )
“Banyak perkara yang menimbulkan keraguan, sebab itu pasukan penyiasat China telah meminta semua maklumat berkaitan kapten kapal tersebut daripada kerajaan Malaysia,” katanya.
Sumber itu bagaimanapun menegaskan, siasatan itu adalah rutin yang perlu dilakukan dan pihak itu bukan melamparkan tuduhan ke atas kapten berkenaan.
“Aspek ini perlu dipertimbangkan, memandangkan begitu banyak misteri yang menyelubungi kehilangan kapal berkenaan,” katanya.
Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam awal Sabtu lepas dan sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Ia bagaimanapun hilang dan terputus komunikasi dengan menara kawalan udara di Subang pada pukul 2.40 pagi.
Menurut laporan awal, sepanjang penerbangan komunikasi menara kawalan dengan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun berjalan lancar tanpa isyarat kecemasan ataupun masalah diberikan oleh pengendali pesawat kepada menara kawalan.
Perhubungan terputus selepas komunikasi menara kawalan di Subang menyerahkan komunikasi pesawat MH370 kepada menara kawalan udara di Ho Chi Minh City, Vietnam kerana pesawat itu sudah menghampiri ruang udara Vietnam dalam penerbangan ke Beijing, China.

#MH370: Tiada Kapal Selam Digunakan Dalam Operasi Mencari Kerana ?

Kapal Selam
PETALING JAYA – Tiada kapal selam digunakan dalam operasi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Katanya, ini kerana kapal selam tidak sesuai melakukan tugas itu kerana ia hanya dilengkapi sistem sonar pengesan yang terhad dan tidak berupaya mengesan objek statik di dasar laut.
“Sonar yang dipasang pada kapal selam tidak mampu mengesan atau menjejak apa-apa objek yang berada di paras laut, ia hanya mampu mengesan objek yang bergerak atau yang mengeluarkan bunyi,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang di sini Selasa.
Turut melawat pusat itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan.
Abdul Aziz berkata, bagi mengesan objek di dasar laut ia selalunya dilakukan kapal yang dilengkapi sistem sonar lebih berkeupayaan tinggi dalam mengesan objek di paras laut seperti kapal selam penyelamat, kapal hidrografi dan kapal pengesan periuk api.
Katanya, kapal yang mempunyai kelengkapan itu telah dikerahkan ke kawasan operasi termasuk kapal MV Mega Bakti, KD Perantau dan KD Mahameru milik Tentera Laut Diraja Malaysia selain MV Swift Rescue milik Tentera Laut Singapura.
“Jadi saya harap selepas ini tidak ada lagi tohmahan ataupun pertanyaan mengenai kenapa kapal selam tidak digunakan dalam operasi mencari MH370 ini,” katanya.
Pada Sabtu lepas, penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. – mStar Online