KUALA LUMPUR – Orang ramai digesa
supaya terus berjimat cermat dan mengamalkan penggunaan berhemah
meskipun catuan bekalan air telah ditamatkan oleh kerajaan Selangor pada
1 Mei lalu.
Penolong Pengurus Besar Jabatan
Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor
Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred Dharan berkata, kapasiti bekalan
air terawat di Lembah Klang masih tidak mencukupi bagi menampung
permintaan pengguna.
“Kapasiti bekalan air terawat di
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tidak mencukupi bagi
menampung sepenuhnya permintaan pengguna terutama pada waktu puncak
dengan rezab bekalan air terawat berada di paras kurang daripada satu
peratus.
“Oleh demikian, para pengguna
disarankan agar terus mengamalkan sikap berjimat cermat menggunakan air
dan mengelakkan sebarang pembaziran,” katanya melalui satu kenyataan
media hari ini.
Priscilla turut meminta orang ramai
menyalurkan sebarang kejadian paip pecah atau bocor kepada Pusat
Perkhidmatan Pelanggan Syabas (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252
untuk membantu mengelakkan pembaziran.
Media pada 30 April lalu melaporkan
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan catuan bekalan
air ditamatkan selepas mendapat jaminan kerajaan Selangor bekalan air
adalah mencukupi. – mynewshub.my