Kuala Lipis – Tempoh lima hari tinggal di dalam ‘neraka buatan suami’ cukup menyeksakan bagi seorang suri rumah apabila dia disuruh menghisap syabu sebelum dipaksa melayan nafsu lima lelaki dengan bayaran RM100 hingga RM120 setiap seorang.
Dalam kejadian pada 26 Mac lalu, wanita
berusia 25 tahun berkenaan dibawa suaminya berusia 30 tahun ke sebuah
rumah sewa di Benta, dekat sini, sebelum bertemu dengan lima lelaki
berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menunggu untuk menjamah tubuh
mangsa.
Difahamkan, mangsa dipercayai dilacurkan suaminya sejak awal 2013 di Raub bagi menyara kehidupan termasuk menggunakan hasil pendapatan haram itu untuk membeli syabu.
Bagaimanapun, suaminya terpaksa beralih lokasi di daerah ini untuk meneruskan kegiatan haram itu berikutan lelaki berkenaan masih tidak mempunyai pekerjaan untuk menyara keluarga.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis
Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, selama lima hari berada di
rumah berkenaan, mangsa terpaksa melayan nafsu lima lelaki terbabit
selepas mereka semua membuat pembayaran.
Menurutnya, pada masa sama, ketika
mangsa ‘disajikan’ kepada lima lelaki terbabit suaminya menjadi penonton
tanpa menghiraukan rayuan dan belas kasihan wanita itu yang meminta
dilepaskan.
Katanya, bagaimanapun, pada 30 Mac lalu,
mangsa akhirnya nekad melarikan diri, namun cubaannya gagal kerana
seorang daripada suspek terbabit dikatakan menyedari tindakan wanita
berkenaan.
“Mangsa merayu kepada suspek terbabit
yang dikenali sebagai Gemuk supaya melepaskannya, namun lelaki itu
bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi dengan satu syarat iaitu
melayani nafsunya.
“Mangsa yang sudah buntu mencari jalan
untuk menyelamatkan diri terpaksa mengikut arahan suspek sebelum lelaki
itu menidurinya secara percuma tanpa pengetahuan suami mangsa,” katanya.
Menurutnya, selepas melayani nafsu
lelaki itu, wanita berkenaan kemudian dibawa keluar dari rumah terbabit
tanpa disedari suspek lain termasuk suami mangsa sebelum dia dihantar ke
Stesen Bas Bandar Katanya, selepas ditinggalkan seorang diri, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Lipis, di sini, untuk meminta bantuan sebelum dia membuat laporan berhubung kejadian itu, petang kelmarin.
Abdul Razak berkata, susulan laporan
dibuat mangsa, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan
Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis menahan empat lelaki
terbabit termasuk suami mangsa di sebuah rumah seorang daripada suspek
di Benta, petang kelmarin.
“Siasatan awal mendapati mangsa mendakwa
dilacurkan suaminya sejak awal 2013 di Raub dan wang yang diperoleh
secara haram itu digunakan untuk menyara kehidupan termasuk membeli
syabu,” katanya.
Katanya, siasatan turut mendapati
sebelum ini wanita itu pernah merayu tidak lagi dilacurkan, namun
suaminya berang sebelum memukul dan menerajang mangsa tanpa belas
kasihan.
Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital
Kuala Lipis (HKL), di sini, untuk mendapatkan rawatan, manakala anak
perempuannya yang berusia lima tahun kini dijaga ibu mentuanya.
Abdul Razak berkata, polis masih
menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan akan bertemu dengan
keluarga mangsa serta mentuanya. – myMetro Online