Kota Kinabalu – Seorang artis lelaki kelahiran program realiti popular dicekup bersama tiga rakannya selepas dipercayai cuba menjual basikal curi sebelum perbuatan mereka dikesan polis yang melancarkan Op Cantas Khas.
Artis berusia 22 tahun itu ditahan bersama tiga rakannya jam 2.30 petang kelmarin di sebuah kafe di bandar raya ini bersama sebuah basikal jenis ‘Bianchi’ dipercayai barangan dicuri dalam kejadian di sebuah rumah di Kingfisher, Menggatal, dekat sini, Rabu lalu.
Difahamkan, semua suspek berusia antara 19 dan 27 tahun dikesan berada di kafe di Lintas sebelum dihampiri sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Sebaik memperkenalkan diri, semua mereka terkejut dan gagal meloloskan diri lalu ditahan.
Pemeriksaan menemui beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.
Semua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Sebaik menerima laporan dibuat mangsa, polis melancarkan Op Cantas Khas dan mengesan semua suspek di sebuah kafe.
“Sepasukan polis kemudian memperkenalkan diri lalu menahan mereka termasuk artis terbabit,” katanya.
Jauteh berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk kemungkinan cuba menjual barangan berkenaan kepada pihak ketiga.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi pada 12 Februari lalu, mangsa dihubungi jirannya memaklumkan pintu belakang rumahnya terbuka dipercayai dipecah masuk.
Mangsa bergegas pulang ke rumah dan mendapati jeriji belakang dipotong sebelum mendapati keadaan rumah berselerak.
Pemeriksaan mendapati beberapa barang berharga miliknya termasuk mesin jahit elektrik, dua radio, jam tangan berjenama, kasut, pakaian, basikal lumba dan wang tunai hilang. – Harian Metro