KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan kes penemuan mayat kanak-kanak berusia dua tahun di Paka, Dungun, dalam tempoh terdekat berikutan penahanan tiga suspek selain ibu mangsa, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek utama yang juga teman lelaki ibu mangsa berusia 25 tahun, ditahan di Kuala Paka jam 3.30 petang semalam.
IBU mangsa diiringi anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk memberi keterangan. |
“Polis mencari lelaki ini sejak 18 Januari lalu iaitu sejurus laporan polis dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 27 tahun mengenai kehilangan anaknya.
“Susulan penahanan ibu mangsa juga, kita mendapat tahu laporan dibuat sebelum ini adalah palsu dan wanita itu mendakwa dia dipaksa berbohong oleh suspek utama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, sebentar tadi.
Manoharan berkata, ketika ditahan, semua suspek dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah.
“Kita percaya semua suspek termasuk ibu mangsa terbabit dengan dadah dan turut menjadi pengedar secara kecil-kecilan,” katanya.