Kejam!!! Mayat bayi lelaki masih bertali pusat ditemui di sungai Klang


Gambar Hiasan

KLANG – Mayat seorang bayi lelaki yang bertali pusat dengan keadaan kepalanya pecah ditemui di Sungai Klang berdekatan kawasan Pengkalan Sungai Udang di sini hari ini.
Ketua Polis Dearah Klang Selatan, ACP Mohd Mat Yusop, berkata mayat bayi yang belum dikenalpasti identiti ditemui seorang penjaga pangkalan yang sedang mengutip tin kosong di tebing sungai itu pada kira-kira 9 pagi.
“Mayat bayi yang cukup sifat ditemui dalam timbunan sampah dalam keadaan terlentang dengan tidak berbaju,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mat Yusop berkata pada awalnya, penjaga pangkalan berkenaan menyangkakan bayi itu sebagai anak patung.
Beliau berkata mayat bayi yang dipercayai meninggal dunia tiga hari lepas dihantar ke Makmal Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan tujuan membuang mayat dengan sulit, katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama