Khalid Nak Bagi Peluang ‘Orang Muda’ Pula Jadi MB Selangor Penggal Akan Datang

Khalid Nak Bagi Peluang 'Orang Muda' Pula Jadi MB Selangor Penggal Akan Datang
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau tidak mahu lagi memegang jawatan menteri besar Selangor untuk penggal akan datang.
Bagaimanapun, beliau menafikan keputusannya itu dibuat atas desakan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat.
“Ia adalah keputusan saya, saya telah membuat keputusan lebih awal, kita perlu beri peluang kepada golongan muda untuk tonjol kepemimpinan mereka sama ada parti politik atau negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Padang Majlis Perbandaran Petaling Jaya di Petaling Jaya, hari ini.
Semalam, Abdul Khalid dalam laman Twitternya berkata: “Saya tidak bercadang menjadi menteri besar untuk penggal yang ketiga. Tapi saya akan terus berkhidmat hingga akhir penggal ini (penggal kedua).
“Dalam hidup ini, saya hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam akaun Twitternya itu.
Sementara itu, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata himpunan bertemakan “Pekerja Bersatu Rakyat Maju” dihadiri kira- kira 2,000 orang untuk menyambut Hari Pekerja.
Himpunan itu bermula seawal pukul 7 pagi dan berakhir kira-kira pukul 11 pagi tadi.
- Bernama

Pelakon - Julia Ziegler Nafi Mabuk Ketika ‘Shooting’ Di Sydney

Julia Ziegler Nafi Mabuk Ketika 'Shooting' Di Sydney
Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman, Julia Ziegler menafikan khabar angin mengatakan seorang pelakon wanita mabuk teruk ketika menjalani pengambaran di Sydney, baru-baru ini.
Menurut laporan berita itu, klue yang diberikan banyak terarah kepada pelakon tersebut sehingga ramai membuat telahan memang Julia lah orang yang dimaksudkan.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Julia menjelaskan, “eh, mana ada, mengarut saja. Jangan percaya mereka (penyampai)”.
“Memanglah saya jenis yang gila-gila, tapi tak adalah sampai terjerit dan mabuk macam itu. Orang buat cerita ini. Siapa yang mengadu, siapa yang bercakap? Terkejutlah saya. Siapalah yang buat lawak bodoh macam ini,” katanya dipetik Harian Metro.
Kalau betul awak tak buat, tak payah takut lah Julia, lama-lama orang pun akan berhenti bercakap mengenai perkara ini kalau tak de bukti yang jelas. Tak gitu? – MYNEWSHUB.MY
Oleh: AUDREY LEE

Terkini - Sultan Brunei Umum Hukum Hudud Dilaksana Hari Ini

Sultan Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN – Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam mengumumkan bahawa negaranya akan melaksanakan hukum hudud bermula pada hari ini.
“Dengan penuh keyakinan dan kesyukuran kepada Allah Maha Besar, saya mengumumkan esok (hari ini) undang-undang syariah fasa pertama akan dikuatkuasakan dan ia akan diikuti dengan fasa-fasa seterusnya,” kata baginda dalam satu dekri diraja semalam.
Fasa pertama dan kedua akan bermula pada tahun ini manakala fasa seterusnya akan bermula pada tahun depan.
Pada fasa pertama, hukuman penjara dan denda akan dilaksanakan antaranya untuk pesalah yang tidak menghadiri solat Jumaat dan hamil di luar nikah.
Pada lewat tahun depan, hukuman seperti rejam dengan batu kerana kesalahan meliwat dan zina akan diperkenalkan.
Ekoran pengumuman tersebut, Brunei yang kaya dengan minyak akan menjadi negara pertama di Timur Asia dan Asia Tenggara yang memperkenalkan hukuman hudud.
Brunei menyertai kebanyakan negara di Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran dan Iraq yang turut menguatkuasakan hukuman itu.
Antara hukuman itu ialah tangan pencuri akan dipotong.
Kerajaan Brunei sebelum ini menangguhkan pelaksanaan hukum hudud selepas dikritik beberapa badan hak asasi antarabangsa.
Bagaimanapun, pemerintah berusia 67 tahun itu memutuskan untuk meneruskan perlaksanaan hukum hudud dan menolak dakwaan bahawa undang-undang itu sebagai tidak adil.
“Ada pihak menuduh undang-undang Allah ini kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri berfirman bahawa undang-undang itu adalah adil,” ujar baginda lagi di sebuah pusat konvensyen di sini.
Pemerintah Brunei itu merupakan antara orang terkaya di dunia dan kekayaannya pernah dianggarkan majalah Forbes berjumlah AS$20 bilion (RM65.28 bilion) pada tiga tahun lalu.
Sultan Hassanal Bolkiah juga dilaporkan mempunyai banyak koleksi kereta mewah dan istana yang dihiasi emas.
Baginda sebelum ini berselisihan faham dengan adiknya, Putera Jefri Bolkiah yang didakwa menggelapkan wang berjumlah AS$15 bilion (RM 48.98 bilion) ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.
Brunei mempunyai kira-kira 400,000 orang penduduk dengan 70 peratus daripadanya merupakan penganut Islam. – Agensi