TAIPEI – Masalah sakit telinga teruk yang dialami seorang
wanita berjaya diatasi selepas doktor mengeluarkan ulat dari telinganya.
Wanita berusia 48 tahun yang dirahsiakan identitinya itu membuat
pemeriksaan di hospital selepas 24 jam mengalami kesakitan yang teruk.
Doktor di Hospital Tri-Service, Taipei mengeluarkan alat bantuan
pendengaran di telinga kiri wanita berkenaan dan mendapati saluran
telinga wanita itu dipenuhi lapisan darah beku.
Selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, mereka menemui
kepompong ulat di sekitar saluran telinganya dan doktor percaya ia sudah
berada di situ sekurang-kurangnya satu hari.
Dr Cheng-Ping Shih memberitahu media, telinga wanita berkenaan kurang peka setelah lama menggunakan alat bantuan pendengaran.
Katanya, alat itu juga menjadikan saluran telinganya panas dan ia menjadi tempat pembiakan sesuai untuk ulat berkenaan.
Laporan yang diambil daripada New England Journal of Medicine sebagai
rujukan kes itu menyatakan ulat itu menghakis kulit pada pangkal
saluran telinga berdekatan gegendang.
Doktor berjaya mengeluarkan ulat itu dan mengelakkan ia bergerak lebih dalam.
Kesakitan yang dialami wanita itu hilang serta merta selepas ulat itu
dikeluarkan dan dua minggu selepas rawatan, luka di dalam telinganya
pulih sepenuhnya.
Doktor percaya ulat itu berpunca daripada lalat di persekitaran rumah wanita berkenaan.
“Kebanyakan kes serangga memasuki saluran telinga datang dari
serangga yang terbang dan lipas,” kata Doktor Cheng ketika ditemui.
Kes ini bukanlah yang pertama seumpamanya.
Sebelum ini, seorang wanita warga Britain, Rochelle Harris yang
mengalami sakit telinga yang teruk terkejut apabila doktor mengesan
lapan ulat besar membiak di dalam telinganya. – Agensi
PETALING JAYA – Cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
menjadi Menteri Besar Selangor menerusi pelan hebatnya mungkin tidak
akan kesampaian.
Ia berikutan penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan meletak jawatan.
Berdasarkan sumber peringkat tertinggi, Abdul Khalid dijadualkan
perlu menandatangani surat perletakan jawatan yang disediakan oleh
kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun difahamkan Abdul Khalid enggan berbuat demikian.
Surat perletakawan jawatan sulit itu merupakan sebahagian daripada
pelan becita-cita tinggi untuk memberi laluan kepada Anwar memimpin
Selangor.
Surat itu dipercayai bertarikh 23 Mac iaitu tarikh hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Surat bertarikh tersebut dibuat dengan jangkaan Anwar akan memenangi PRK Kajang dan menyertai DUN Selangor.
Sumber kerajaan negeri turut memaklumkan The Star bahawa Abdul Khalid
menasihatkan Istana Selangor bahawa beliau tidak akan meletak jawatan.
“Beliau rasa seperti dipermain-mainkan oleh Anwar,” katanya sumber berkenaan.
Abdul Khalid juga dikatakan sudah menerangkan kepada Sultan Selangor
mengenai situasi politik di Selangor dalam pertemuan mingguannya pada
Rabu lalu.
Difahamkan Sultan Selangor yang mahir mengenai Perlembagaan Negeri,
dijangka tidak mengganggu hal politik namun akan mematuhi sepenuhnya
semua undang-undang negeri.
Sejak Abdul Khalid menghadap sultan, beliau diperhatikan kini sentiasa berada dalam keadaan ‘angin baik’ dan selalu tersenyum.
Pemerhati berkata keadaan rambutnya sering dilihat sebagai ‘pengukur
angin’ – kini dilihat sentiada kemas dan rapi serta kelihatan ceria.
Walau bagaimanapun, Abdul Khalid perlu menghadapi ‘pertempuran sengit’ dalam usaha mengekalkan kedudukannya.
Difahamkan DAP menggesa supaya diadakan mesyuarat khas Pakatan Rakyat pada minggu depan.
Seorang pemimpin senior DAP dikatakan memaklumkan kepada PKR bahawa
jika parti itu gagal menguruskan Abdul Khalid, parti itu akan mula
memberikan tekanan kepadanya.
Abdul Khalid dilaporkan kehilangan sokongan DAP Selangor berikutan isu rampas Bible.
Bagaimanapun tidak semua Adun DAP akan memberi tekanan terhadap Abdul
Khalid kerana sekumpulan Adun parti itu yang diketuai oleh pemimpin
kuat mereka akan terus memberi sokongan kepadanya.
Menurut sumber, Abdul Khalid kecewa dengan kenyataan daripada
pemimpin partinya selepas Anwar dinamakan sebagai calon PRK Kadang.
Antaranya kenyataan oleh Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli
iaitu individu yang dikatakan menjadi tulang belakang kepada PRK Kajang
pernah dilaporkan berkata bahawa beiau yakin Anwar mampu melakukan
sesuatu yang lebih baik di Selangor.
Mohd Rafizi berkata Abdul Khalid ada seorang teknokrat dan tidak
mempunyai pengalaman untuk menguruskan isu perkauman dan agama. – The
Star
Malah kenyataan Anwar sendiri mengenai pelannya di Selangor turut
tidak menyenangkan Abdul Khalid sebagai penyandang kerusi Menteri Besar.
Baru-baru ini orang di sekeliling Abdul Khalid mengkritik cadangan
Anwar untuk melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad
Muhammad Taib dalam program pembangunan luar bandar Selangor.
Anwar menyatakan cadangan itu ketika berceramah di Kajang pada Rabu lalu.
Ia dilihat sebagai keputusan yang bertentangan dengan pendirian parti
dan Pakatan Rakyat memandangkan kontroversi yang dikaitkan dengan Mat
Taib, sebagai bekas pemimpin Umno.
Anwar dan Mat Taib pernah berada dalam pasukan yang sama pada 1996 ketika pemilihan Umno.
Hulu Selangor – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun
maut selepas digilis kereta PROTON Exora dipandu datuknya yang sedang
mengundur dalam kejadian di Taman Lembah Damai, Kerling.
Difahamkan, dalam kejadian jam 9.40 malam kelmarin itu, mangsa, M
Sharvina berada di pekarangan rumah datuknya itu bersama ahli keluarga
lain dan tanpa disedari mangsa berlari keluar rumah untuk mengikuti
datuknya yang hendak mengundurkan kereta.
Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Priya, 28, berkata, dia masih
tidak dapat melupakan detik menemui anaknya itu yang juga anak perempuan
tunggal daripada empat beradik terperosok bawah tayar hadapan sebelah
kiri kereta PROTON Exora yang dipandu bapanya.
Beliau berkata, bapanya mengundurkan kereta yang diletakkan di
hadapan rumah untuk menghantar mereka sekeluarga balik ke rumah yang
terletak kira-kira 50 meter dari rumah bapanya itu.
“Ketika itu, saya berada di dalam rumah bersama anak yang
lain, manakala bapa saya pula keluar untuk mengeluarkan kereta dan tanpa
diduga Sharvina turut keluar mengikut datuknya itu tanpa disedari.
“Saya terkejut mendengar jeritan bapa yang menyatakan anak
saya berada di bawah tayar dan saya seperti berada di awangan selepas
menemui anak saya itu dalam keadaan begitu,” katanya.
Beliau berkata, dia bersama kakak yang tinggal di rumah bersebelahan
rumah ibunya membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima
rawatan kecemasan bagaimanapun, anaknya sudah tidak bernyawa lagi.
“Anak saya seorang yang manja, malah sangat rapat dengan semua
keluarga termasuk datuknya. Kami sekeluarga tidak sangka dia
meninggalkan kami dalam keadaan begini,” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu
lori tiada di rumah kerana bekerja di Ipoh dan anak-anak mereka diasuh
datuk dan nenek mereka di rumah itu.
“Bapa saya juga masih panik dengan kejadian ini,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Hindu Kerling, Lembah
Beringin dengan menggunakan kereta PROTON Exora yang sama kira-kira jam 2
petang semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. – Harian Metro