SUBANG – “Sesiapa
saja memiliki komputer boleh beli perisian simulasi penerbangan dan
belajar mendaratkan pesawat di lapangan terbang seluruh dunia. “Oleh
itu, tuduh Zaharie terbabit dalam insiden MH370 semata-mata kerana
memiliki simulator adalah tidak adil.”
Itu tegas Pengarah syarikat simulasi penerbangan Simflight KL Kapten Amin Said yang menganggap tuduhan dilemparkan oleh media asing terhadap juruterbang pesawat penerbangan MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai tidak berasas.
Katanya, satu kebiasaan bagi juruterbang profesional
memiliki simulator penerbangan sendiri untuk menambah kemahiran dan
pengetahuan mereka, lebih-lebih lagi bagi seorang individu yang amat
berminat dalam bidang penerbangan seperti Zaharie.
“Seperti seorang pemuzik ada perisian peralatan muzik yang
boleh dimuatkan dalam komputer, begitu juga juruterbang dengan simulasi
mereka. Ini adalah sesuatu yang normal untuk menambah kemahiran.
“Saya kenal rapat dengan Zaharie ketika bersama-sama aktif
bermain kapal terbang kawalan jauh lewat tahun 90-an. Dia adalah seorang
yang periang dan gemar berkongsi pengetahuan dan amat serius dalam kerjayanya sebagai seorang juruterbang.
“Tak mungkin dia sengaja lakukan sesuatu untuk memudaratkan
penumpang dan kru pesawat itu,” katanya di pejabat Simflight KL di sini.
Menurutnya, dia terkejut apabila media asing mengaitkan isu peribadi
Zaharie dengan insiden berkenaan dan yakin sahabatnya itu tidak
sepatutnya dijadikan kambing hitam dalam isu kehilangan pesawat itu.
Pandangannya terbukti benar apabila Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika
Syarikat dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti untuk mengaitkan Zaharie selepas
pasukan siasatan meneliti cakera keras dan simulator penerbangan itu.
HONOLULU – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Chuck Hagel
berkata Washington bersedia untuk memenuhi permintaan bantuan tambahan
daripada Malaysia dalam usaha mencari pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada permintaan sedemikian dikemukakan
Menteri Pertahanan Malaysia yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mereka bertemu di sini
sempena dengan Forum Pertahanan AS-Asean yang berakhir di sini, Khamis.
“Saya memberitahu beliau (Hishammuddin) dengan jelas jika
beliau mempunyai permintaan tambahan, bercakap dengan saya secara
langsung.
“Saya juga memberitahu beliau, jika ia mungkin, kami
benar-benar akan menghormati sebarang permintaan tambahan (untuk
bantuan),” Hagel bercakap dalam sidang media sempena berakhirnya dialog
AS-Asean.
Pesawat Malaysia ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal itu
hilang pada 8 Mac di Laut China Selatan setelah sejam berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Operasi melibatkan pelbagai negara bagi mencari Boeing 777-200ER itu
membabitkan negara jiran Malaysia dan negara-negara lebih jauh seperti Amerika Syarikat, Perancis, China dan Australia yang setakat ini hasilnya masih kosong.
Pesawat itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi dengan misi carian kini sedang dijalankan daripada Perth, Australia.
Hagel berkata Hishammuddin, yang mewakili Malaysia pada forum di Hawaii
ikhlas tentang pujian terhadap rakan-rakan pertahanan Asean serta
Amerika Syarikat dengan bantuan yang diberikan dalam mencari pesawat
berkenaan.
Setiausaha Pertahanan AS itu juga menegaskan, beberapa rakyat negara lain turut berada dalam pesawat penerbangan Malaysia itu.
Beliau berkata China dan banyak negara di Asia Pasifik yang diminta oleh Malaysia untuk memberi bantuan, telah memenuhinya.
“Ini adalah mengenai manusia. Lagipun, bukankah ia merupakan inti
pati yang kita berpegang teguh, iaitu melindungi rakyat kita dan
membantu orang lain apabila mereka memerlukan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin dan rombongan termasuk Panglima Angkatan
Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Panglima Tentera
Laut, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad
Badaruddin berlepas pulang dari Honolulu, sebaik tamatnya forum.
Noah, filem berkaitan nabi Noh, diharamkan di Malaysia atas alasan ajaran Islam tidak membenarkan gambaran visual seorang nabi.
Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Datuk Abdul Halim Abdul Hamid
berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah “berjaga-jaga”, kerana ia
dianggap tidak sensitif terhadap orang Islam, lapor theSun.
“Filem itu diharamkan kepada pada kita orang Islam, kita
percaya pada Nabi Noh dan menurut ajaran Islam, dilarang melakonkan
semula aksi watak nabi.
“Mana-mana gambaran nabi dilarang oleh Islam,” beliau dipetik sebagai berkata.
Filem itu dikatakan berdasarkan kisah-kisah Bible berkaitan Nabi Noh dan peristiwa banjir besar.
Ia diarahkan oleh Darren Aronofsky dan bintang terkenal Russell Crowe beraksi sebagai Nabi Nuh.
Beberapa negara Islam, termasuk Mesir, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab
Bersatu (UAE) dan Indonesia dilapor mengharamkan filem itu bulan lepas.
Pengarah kandungan media di Pusat Media Kebangsaan UAE dilaporkan berkata:
“Terdapat babak bertentangan dengan Islam dan Bible, justeru kami putuskan tidak menayangkannya.”
Crowe dilapor menjangkakan pengharaman itu di negara-negara Islam. – Malaysiakini.com