Gambar Hiasan |
SHAH ALAM – Disamun, diikat mata, dikurung, dirogol dan gambar bogel dirakam,
adalah detik hitam dilalui seorang wanita yang merupakan pelatih sebuah bank
dalam kejadian 9 Januari lalu.
Mangsa yang berumur 24 tahun sebelum
kejadian malang itu memandu kereta bersendirian menuju ke Stesen Keretapi Tanah
Melayu (KTM) Komuter Shah Alam di Seksyen 19, kira-kira jam 6
pagi.
Difahamkan, setiap hari mangsa menaiki komuter untuk ke tempat
kerjanya di ibu negara.
Menurut sumber, ketika mangsa baru meletakkan
kenderaannya, datang sebuah kenderaan lain dinaiki dua lelaki.
“Suspek
menarik keluar mangsa dan terus mengacukan sebilah parang di lehernya. Suspek
meminta wang tetapi mangsa mengatakan duit di dalam bank.
“Berang dengan
pengakuan tersebut, suspek mencabut tudung mangsa dan mengikat matanya. Mangsa
dibawa lari menaiki kereta dengan niat untuk membawanya ke bank,”
katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun tidak membawa mangsa ke bank,
sebaliknya membawa wanita itu ke sebuah rumah yang tidak dikenal
pasti.
“Mangsa terus dikurung di dalam sebuah bilik. Kemudian, datang
seorang lagi suspek, merogol dan merakam gambar bogel mangsa,”
katanya.
Sumber berkata, sebelum didatangi suspek ketiga, mangsa dipaksa
meminta wang daripada keluarga atas alasan salah seorang penjenayah itu
berhutang dengan ah long, RM2,000.
“Selepas dirogol dan diugut, mangsa
menelefon teman lelakinya dan meminta wang RM500,” katanya.
Menurutnya,
suspek membawa mangsa untuk mengeluarkan wang tersebut sebelum ditinggalkan di
Stesen KTM Komuter Batu 3, dalam keadaan tidak bermaya.
Sementara itu,
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Zahedi Ayob ketika dihubungi
mengesahkan kejadian itu.