MENERUSI perkongsian STOMP.COM hari ini, seorang pelanggan di sebuah medan selera di Singapura menceritakan pengalaman buruknya berdepan dengan seorang pekerja di sebuah gerai makanan.
Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Lee berkata, dia telah ditengking oleh seorang pekerja wanita warganegara China ketika bertanyakan mengenai ‘dim sum’ yang dijual di situ.
Menurutnya, dia hanya bertanya adakah makanan yang dipamerkan di ruang kaca masih panas atau tidak, namun wanita itu hanya memandangnya tajam.
Apabila dia mengulangi pertanyaannya, wanita itu kemudian meninggikan suara dengan berkata, “Mestilah masih panas!”.
Panas hati dengan sikap wanita itu, Lee berkata dia tidak akan membeli makanan di gerai tersebut sebelum pekerja itu menyuruhnya ‘berambus’.
“Dia juga menjerit dan berkelakuan agresif tatkala saya melalui gerai itu untuk membeli makanan di gerai lain.
“Saya tak mahu bertekak dengannya, jadi saya kembali ke meja untuk makan. Sepanjang waktu, dia asyik memandang saya dengan tajam dan ia membuatkan saya berasa tidak selesa.
“Selepas menghabiskan makanan, saya kembali ke gerai tersebut dan mengambil gambar. Dia kemudiannya menjerit dan mahu mencampakkan tuala di tangannya ke arah saya.
“Kalau ada yang tak percaya, sila pergi sendiri ke gerai tersebut dan rasakan ‘perkhidmatan’ yang diberikannya,” akhiri Lee.
Oleh: ELZA