Anwar Bertanding DUN Kajang, Bakal Jadi Menteri Besar Selangor?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menamakan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam pilihanraya kecil selepas ahlinya meletakkan jawatan semalam.




Spekulasi bertebaran bahawa Lee Chin Cheh, seorang peguam yang berusia 42 tahun telah meletakkan jawatan ADUN Kajang untuk memudahkan Anwar atau pun Ahli Parlimen Pandan yang sedang meningkat naik, Rafizi Ramli untuk menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun, kemunculan Khalid dalam sidang media bersama pagi ini menunjukkan Anwar, 66, telah berjaya meyakinkan Khalid dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, kepada satu bentuk persetujuan.
Adalah dipercayai keputusan untuk Anwar bertanding bagi Kerusi Negeri telah dibuat pada lewat malam tadi. Ujar orang dalam PKR kepada Malaysia Chronicle:-
Kami masih menyusun strategi. Apa saja yang melibatkan Anwar mempunyai implikasi nasional, jadi kami perlu sangat berhati-hati.
Pemerhati PKR sekarang percaya bahawa Anwar akan membiarkan Khalid kekal sebagai Menteri Besar ‘buat masa ini’ walaupun terdapat bangkangan dari parti yang bekerjasama dengan mereka iaitu DAP dan PAS di mana Khalid dianggap bersikap ‘seperti diktator’ dalam menguruskan negeri Selangor.
Saya fikir mesejnya jelas. Khalid telah mendapat ‘pengajaran’ dan Anwar kini memiliki kerusi Kajang – jika dia menang – sekiranya Khalid masih berdegil. Kerusi Kajang memberikan Anwar lebih ruang untuk bergiat aktif dalam memimpin PKR Selangor dan ini seperti satu ‘amaran’ kepada Azmin untuk tidak bersikap terlalu mendesak.
Apa yang berlaku pada Rafizi menyedihkan tetapi dia masih muda dan kami yakin satu hari nanti dia akan mendapat kedudukan yang tinggi. Saya rasa kemungkinan untuk Rafizi menjadi Menteri Besar Selangor yang seterusnya telah menimbulkan keterujaan buat rakyat biasa Selangor. Dia ialah seorang yang dihormati orang ramai walaupun masih muda.
Laporan asal: Malaysia Chronicle