Anak pasangan guru mati kerana kecuaian kakitangan hospital

JERTIH – Pasangan guru bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah pusat kesihatan dekat sini, kerana mendakwa kecuaian kakitangannya sehingga menyebabkan anak perempuan mereka meninggal dunia pada 6 Disember lalu.
Muhamad Sardi Saad, 37 dan isterinya Fadilah Ab Wahab, 43, dari Alor Lintang sedang mendapatkan khidmat guaman untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan bagi mendapat pembelaan.
Pasangan terbabit kecewa kerana mendakwa layanan diterima ketika membawa anak mereka mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berkenaan pada 5 Disember lalu amat tidak memuaskan.
Menurut Muhamad, dia membawa anak perempuannya, Ulya Insyirah, 4 tahun dua bulan ke sana pada tarikh berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas anak bongsu daripada tiga beradik itu muntah-muntah kira-kira jam 3 pagi hari sama.


Rawatan diberi tak memuaskan hati
Dakwanya, setiba di unit kecemasan kira-kira jam 9.40 pagi, doktor bertugas mengarahkan supaya anaknya berdiri di atas alat penimbang kemudian dibaringkan di atas katil pesakit.
Mereka tidak berpuas hati kerana mendakwa doktor tidak membuat pemeriksaan sebagaimana lazim, termasuk memeriksa tekanan darah dan denyutan nadi, sebaliknya terus memasukkan air.
Dakwanya lagi, dua doktor bertugas dibantu seorang jururawat cuba memasukkan jarum di tangan anaknya untuk mencari urat darah tetapi tidak berjaya.
“Selepas lebih tiga jam berada di unit kecemasan, Ulya Insyirah kemudian dimasukkan ke wad di pusat kesihatan berkenaan. Pada peringkat awal dimasukkan air, keadaan anak saya kembali aktif dan dapat makan.
“Bagaimanapun selepas Maghrib hari sama, isteri saya lihat keadaan anak saya menunjukkan perubahan luar biasa apabila kaki dan tangannya kelihatan bengkak (sembab).
“Kami bertambah kecewa dengan jawapan seorang doktor dan jururawat yang datang membuat pemeriksaan harian apabila menjawab tidak tahu punca bengkak,” katanya.
Terlebih dimasukkan air
Muhamad berkata, dia memberitahu pihak pusat kesihatan kemungkinan anaknya terlebih dimasukkan air kerana diberi air secara berterusan walaupun keadaannya sudah pulih.
“Akhirnya pihak pusat kesihatan membuat ujian Sinar X (x-ray) dan terbukti diakui terdapat sedikit lebihan air, sehingga memasuki paru-paru anak saya,” katanya.
Menurutnya, pada malam itu keadaan anaknya semakin lemah dan menjadi kritikal apabila pernafasannya tidak normal.
Dakwanya, kelemahan pihak pusat kesihatan juga jelas ketika anaknya semakin teruk pelbagai masalah timbul di dalam wad, seperti ketiadaan soket elektrik berhampiran katil, selain kakitangan di situ terpaksa mencari di merata tempat tabung oksigen kerana kehabisan oksigen menyebabkan kelewatan bantuan diberi kepada anaknya.
Akhirnya setelah keadaan Ulya Insyirah bertambah serius, dia dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hanya kira-kira jam 5.30 pagi, 6 Disember.
Kata Muhamad Sardi, sebaik tiba di HSNZ, pada jam 6.50 pagi anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (INCU) namun, pada jam 8.05 pagi anaknya disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Buat laporan polis
Berikutan rasa tidak puas hati terhadap cara pihak pusat kesihatan memberi rawatan terhadap anaknya, Muhamad Sardi kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja, pada 12 Disember.
“Kami sebenarnya akur dan reda dengan kematian Ulya Insyirah kerana itu kehendak ALLAH. Namun, rasa sedih dan kecewa dengan cara kakitangan pusat kesihatan membuat pemeriksaan dan merawat mangsa menyebabkan saya terpaksa bawa perkara ini ke atas,” katanya.
Menurutnya, paling penting, kes seumpama ini diharap tidak akan berulang dan menimpa pesakit lain yang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan itu.
Kes dalam siasatan
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.
Katanya, walaupun tidak menerima laporan sekalipun pihaknya tetap akan menjalankan siasatan kerana sememangnya prosedur kementerian yang menetapkan satu siasatan dilakukan sekiranya berlaku kematian membabitkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun di pusat kesihatan.
“Siasatan kes ini diketuai oleh seorang doktor pakar kanak-kanak dari HSNZ bersama pasukannya dan sedang menyiasat dari pelbagai sudut termasuk menilai pihak pusat kesihatan itu mahupun HSNZ mematuhi Prosedur
Operasi Standard (SOP).
Kata beliau, siasatan dilakukan secara telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak. -SH