Tahun 2013 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Tahun ini mencatatkan pelbagai ceritera isu perkahwinan para selebriti terkenal Malaysia. Disini antara senarai perkahwinan selebriti yang menjadi bualan hebat para peminat. Walauapapun, semoga ikatan perkahwinan yang dibina mereka ini berkekalan dan dipenuhi dengan berkat dari Allah SWT hendaknya. Amin.
1. Aeril Zafrel & Wawa Zainal
Perkahwinan Aeril Zafrel merupakan perkahwinan paling kontroversi pada tahun ini. Setelah penafian demi penafian dilakukan, akhirnya pasangan ini mengakui mereka telah berkahwin sebanyak dua kali iaitu pada 25 Februari 2012 pada 4 Februari 2013.
Bukan itu sahaja, Aeril dan Wawa turut mendedahkan mereka sudah dikurniakan dengan seorang anak, Ahmad Fakharuddin Attar yang dilahirkan pada 24 ogos 2013. Pengakuan pasangan ini mengundang lebih banyak spekulasi. Satu demi satu kisah di sebalik perkahwinan itu menjadi bacaan umum.
2. Rozita Che Wan & Zain Saidin
Biarpun belum berkahwin pada hari ini, cerita kahwin pasangan ini memang mendapat publisiti meluas sebaik sahaja mereka mengumumkan perancangan untuk berkahwin. Apa tidaknya, sepanjang tempoh percintaan mereka ada sahaja kontroversi yang dikaitkan dengan mereka.
Dek kerana itu, peminat-peminat pasangan ini mengharapkan Che Ta dan Zain Saidin cepat-cepat mendirikan rumah tangga. Bakal bernikah pada 11 Disember ini, majlis perkahwinan Che Ta dan Zain Saidin boleh dianggap sebagai ‘wedding of the year’ kerana berjaya mendapat nilai tajaan tertinggi. Bukan itu sahaja, pasangan kontroversi ini juga memilih beberapa destinasi luar negara sebagai lokasi penggambaran foto-foto pra perkahwinan mereka.
3. Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim
Pertemuan tanpa dirancang atas urusan kerja akhirnya menyatukan Fizo Omar dan Mawar sebagai suami isteri. Fizo merancang sebuah video yang begitu romantik bagi melamar Mawar menjadi ratu hidupnya.
Tambah unik, Fizo turut melamar Mawar di dalam sebuah pawagam dengan bersaksikan pihak keluarga dan juga pihak media yang membuat liputan. Pasangan ini akhirnya disatukan pada 10 November lalu di kediaman Mawar di Kajang.
Biarpun ramai peminat yang suka melihat pasangan ini, namun tindakan Fizo mengahwini Mawar tetap mengejutkan peminat kerana usia perkenalan mereka cukup singkat. Fizo dan Mawar memilih untuk bercinta selepas berkahwin dan dapat dilihat mereka kini sedang bahagia menyulam cinta.
4. Diana Amir dan Mohd Habib Bullah A.Rahman
Perkahwinan Diana Amir dan pasangannya dianggap agak menarik kerana majlis perkahwinan pasangan ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada Metrowealth International Group (MIG) yang ketika itu didakwa menghalang artis di bawah pengurusan mereka bercinta dan berkahwin. Diana Amir merupakan artis pertama yang mendapat tajaan sebegitu.
Biarpun mendapat tajaan, GUA puji pendirian pasangan ini yang memilih mengadakan majlis secara sederhana. Berbeza dengan adat perkahwinan Melayu lain, pasangan ini tidak bertukar dulang hantaran sebaliknya hanya menerima senakhah Al-Quran, sebentuk cincin dan mas kahwin bernilai RM1000.
5. Fouziah Gous dan Zhafran Yusof
Perkahwinan Fouziah Gous sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat. Ini kerana sahabat baik Iqram Dinzly ini sudah beberapa kali didakwa telah mendirikan rumah tangga dengan VIP. Pelakon ini boleh dikatakan mengambil risiko besar apabila membuat persiapan kahwin pada saat-saat akhir memandangkan keputusan untuk berkahwin pada 21 September dibuat tiga minggu sebelum majlis berlangsung.
Majlis pertunangan dan pernikahan Fouziah menjadi bualan hangat tetamu yang hadir. Bagaimanapun dalam dua keadaan berbeza. Selain menjadi buah mulut kerana berlangsung dalam suasana meriah dan mewah, majlis pernikahannya menjadi bualan juga kerana berlaku insiden yang agak memalukan.
Pertama, acara menjadi agak kelam – kabut kerana jurugambar yang bertugas terpaksa bergelut dengan anggota Rela yang menyukarkan mereka menjalankan tugas. Satu lagi insiden ialah pihak media yang terpaksa duduk di tangga masjid bagi menjamu selera kerana tempat makan petugas media tidak disediakan.
6. Adam dan Fiza Halim (Elite)
Keputusan yang diambil oleh Adam dan Fiza untuk berkahwin mengejutkan semua pihak kerana perkenalan yang agak singkat antara mereka. Memilih untuk bercinta selepas kahwin, penyatuan pasangan selebriti ini merupakan contoh terbaik kuasa jodoh.
Mengenakan persalinan berwarna putih, pasangan selebriti ini dinikahkan di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam dengan mas kahwin sebanyak RM300. Adam dan Fiza bernikah setelah dua bulan berkenalan secara serius.
7. Abby Abadi dan Farhan
Abby Abadi mengejutkan semua pihak apabila mengumumkan bahawa dia telahpun bernikah dengan seorang jejaka berusia 24tahun pada 9 Julai 2013 iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadhan. Pengumuman dibuat Abby selepas 12hari bergelar isteri dan Abby mengakui bahawa penikahannya yang kedua ini dilangsungkan di selatan Thai kerana mahu mempermudahkan banyak urusan.
Selepas itu, Abby dan Farhan mengadakan majlis resepsi dan rumah terbuka tidak berapa lama selepas hari raya Aidilfitri. Namun begitu, Abby tidak lari daripada menerima kritikan apabila dia mengenakan inai dan bersanding kerana peminat mendakwa itu adalah amalan penganut Hindi yang tidak sepatutnya menjadi ikutan.
8. Raja Azmi dan Mohd Eddie Ghazali
Perkahwinan kali kedua penerbit penuh kontroversi, Raja Azmi di usia 54 tahun juga turut mencuri perhatian. Ini kerana Raja Azmi atau lebih mesra dengan panggilan Kak Mi merupakan bukti kepada pepatah cinta tidak mengenal usia.
Tindakan pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 16 Julai 2013 turut mendapat kecaman segelintir pihak, namun penerbit ini enggan mempedulikan kata-kata negatif kerana tindakan tersebut diambil atas permintaan anak-anaknya yang menginginkan agar Kak Mi melalui proses bertunang, bernikah dan bersanding seperti yang dilalui oleh pasangan pengantin baru yang lain.
Sumber: Gua.com.my & ohartis.com