Selepas Malaysia Airlines, TV3 Pula Dikritik Chef Wan

Chef Wan TV3
SELEPAS menu Nasi Lemak yang disediakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS), kini rancangan memasak terbitan stesen televisyen TV3, Dapur Panas pula jadi mangsa kritikan pedas Chef Wan.
Komen pedas mengkritik program itu dilakukan di laman Instagramnya – chefwan58.
Menurut Chef Wan, ketika menonton program berkenaan beliau bersama bekas isteri dan anak mereka sedang mengemas rumah.
Turut menonton rancangan itu ialah pembantu rumah dan pemandu peribadinya.
“Hari ini ketika sedang mengemas rumah, saya, bekas isteri, anak, pembantu rumah dan pemandu peribadi saya menonton sebuah program memasak, bukan sahaja ia satu program yang membosankan tetapi apabila dapur diletakkan di hadapan sebuah pelamin, ia kelihatan begitu teruk.
“Bilalah stesen televisyen kita akan berubah sikap untuk menerbitkan program memasak yang berkualiti, bersepah-sepah contoh terutama di stesen kabel televisyen antarabangsa yang boleh diambil contoh dan belajar,” katanya.
Menurut Chef Wan, selepas bergelar selebirti Chef selama 26 tahun, beliau masih melihat kualiti yang sama dalam program memasak terbitan tempatan tanpa sebarang pembaharuan.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kemunculan chef selebriti baru di dalam televisyen tanpa mengira latar belakang ilmu memasak tetapi boleh tampil asalkan memiliki wajah yang kacak.
“Hari ini, sesiapa sahaja boleh jadi celebriti chef, jika kita tengok kan CV (biodata) mereka pengalaman kurang, asalkan ada rupa boleh terus jadi chef selebriti.
“Dulu-dulu, kita nak belajar memasak dari orang yang tinggi pengalamannya serta jauh perjalanannya macam orang tua kata, dah banyak makan garam.
“Tapi sekarang, yang setahun jagung baru belajar memasak sedikit dah mula nak mengajar orang lain, bagaimana ini boleh berlaku? Bukankah dunia memasak ini harus dipelajari melalui kepakaran ketika bekerja?
“Yang menjuarai Masterchef baru setahun jagung pun dah boleh terbitkan buku memasak sendiri pada hal pengalaman dalam dunia kulinari mereka sangatlah kurang,” kata Chef Wan.