Filem KAMI HISTERIA Pecah Panggung, Baru 4 Hari Dah Kutip RM500,000!

kami-histeria1
KUALA LUMPUR – Filem Kami Histeria hasil sentuhan pertama pengarah, Shamyl Othman terus mendapat sambutan di pawagam-pawagam utama seluruh Malaysia sejak ditayangkan pada 6 Februari lalu.
Setakat ini, kutipan panggung telah mencecah RM500,000 dalam masa empat hari tayangan.
Shamyl yang juga merupakan anak kepada pengarah tersohor, Othman Hafsham, di dalam temubualnya bersama Gala TV memberitahu ini adalah kali pertama dia mengarah filem dan cabarannya sangat berbeza dengan mengarah drama.
“Bagi saya cabaran mengarah filem apabila setiap scene perlu dijaga dengan terperinci kerana filem disiarkan di skrin sebesar 20 kaki maka setiap inci bakal diperhatikan” katanya.
“Kita juga mengambil masa yang lama dalam pemilihan pelakon yang bakal menganggotai kumpulan Histeria dan alhamdullah, pemilihan yang dibuat menghasilkan kombinasi yang baik” katanya kepada Gala TV.
Filem yang dibarisi pelakon hebat seperti Fazura, Diana Danielle, Mila Jirin dan Izzue Islam turut mendapat review yang baik dari penggemar-penggemar filem.
Antaranya Blog hiburan, Ohbulan! yang merasakan filem bergenre komedi seram ini sebagai ‘terbaik’ kerana berjaya lari dari pandangan stereotaip sesetengah orang yang sering melabel genre berkenaan sebagai karya syok sendiri.
Lakonan lima watak utama ahli kumpulan Histeria iaitu Laila (Diana Danielle), Peanut (Nad Zainal), Bad (Sara Ali), Airin (Mila Jirin) dan Jojo (Umie Omar) disebut-sebut sebagai kekuatan filem Kami Histeria.
Bagi penulis blog Mamuvies pula, lima watak utama tersebut berjaya melakonkan watak masing-masing dengan jayanya tanpa menenggelamkan satu sama lain, namun penulisnya kecewa apabila elemen seram tidak tidak dijadikan subplot dalam filem tersebut.
Selain itu, penulis blog Byrawlins merasakan filem ini berjaya merubah anggapan skeptikalnya kepada filem melayu.
Turut memberi pujian kepada sinematografi filem ini yang dikatakan seolah menonton filem ‘luar negara’, penulis juga merasakan lakonan Nad Zainal ‘menjadi’ walaupun hampir tidak mempunyai dialog, dan hanya menggunakan ekspresi muka serta bahasa badan.
Walaubagaimanapun, rata-rata pendapat di media sosial turut menggemari lakonan Fazura sebagai Cik Lang, hantu yang bercakap loghat Kedah serta lagu-lagu ciptaan Loque yang digunakan sebagai runut bunyi untuk filem ini.