PKNS Belanja RM40 Juta Untuk Pasukan PKNS FC – Dakwa Raja Petra

pkns FC
Penulis blog terkenal, Raja Petra Kamaruddin hari ini mendakwa, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah membelanjakan sehingga RM40 juta bagi pasukan bola sepak Football Club PKNS (PKNS FC) yang ditubuhkan sejak tahun 2008.
Raja Petra mendakwa demikian hanya sehari selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan penubuhan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat penyelewengan kewangan di PKNS.
Dakwaan itu dibuat beliau melalui laman blognya, Malaysia Today.
raja petra

Tambah Raja Petra, hanya RM2.5 juta dibelanjakan PKNS FC pada tahun pertama penubuhannya tetapi ia mula melonjak naik di luar kawalan pada tahun-tahun berikutnya.

“Kemudian ia mula meningkat dan dalam tempoh tiga tahun yang lalu, (perbelanjaan) ia mencecah sehingga RM10 juta setahun yang dibelanjakan,” katanya.
Kata beliau, wang untuk perbelanjaan PKNS datang dari dua anak syarikat iaitu SIC dan Selaman.
Jelasnya, permasalahan terbesar ketika ini ialah akuan berhubungan perbelanjaan PKNS FC berada dalam keadaan ‘kuca-kacir’ dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menjelaskan bagaimana wang berkenaan dibelanjakan atau apa yang berlaku kepadanya.
“Kebanyakan perbelanjaan tidak disokong oleh bukti dokumen,” katanya.
Khalid sebelum ini mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan penyiasatan berhubung salah guna dana untuk PKNS FC.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar yang disiasat SPRM. – Mynewshub.my