Terkini ! MAS Akan RAHSIAKAN Butiran Perjalanan Keluarga Penumpang Dari China ?

MAS Akan RAHSIAKAN Butir Perjalanan Keluarga Penumpang Dari China

KUALA LUMPUR — Malaysia Airlines (MAS) akan menambah
jumlah pesawat untuk membawa anggota keluarga penumpang penerbangan MH370 yang
hilang, dari Beijing ke Malaysia, esok.

Ketua Pengawai Operasi MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat itu akan
bekerjasama rapat dengan kerajaan China dan agensi berkaitan untuk
mempercepatkan pengeluaran pasport serta visa kepada anggota keluarga penumpang
untuk menaiki penerbangan ke negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata butiran ketibaan penerbangan mereka adalah
rahsia.

“Ini bertujuan melindungi privasi dan kesejahteraan keluarga ketika melalui
waktu yang sukar ini, selain menghormati ruang mereka. Tugas kami adalah tidak
mendedahkan apa jua maklumat berkaitan penerbangan atau pergerakan keluarga
ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja pesawat yang hilang itu dikesan, pusat
penyelarasan respons akan diwujudkan berhampiran kawasan itu sebagai satu
sokongan kepada keperluan keluarga terbabit.

Ahmad Jauhari berkata tumpuan utama MAS ketika ini adalah menjaga keluarga
penumpang dan anggota kru MH370.

“Ini bermakna menyediakan kepada mereka maklumat terkini, kemudahan
perjalanan, penginapan, makanan, perubatan dan sokongan emosi. Keseluruhan kos
yang terlibat ditanggung Malaysia Airlines,” katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa syarikat penerbangan itu akan terus telus dan
berkomunikasi dengan masyarakat umum menerusi media dalam semua perkara
berkaitan MH370.
– BERNAMA