Ops Mencari Dan Penyelamat MH370 Diperluaskan Ke Kawasan Darat Guna Helikopter – ATM

0903PencarianDarat


OPERASI mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini diperluaskan di kawasan darat selepas terdapat kemungkinan bahawa ia telah berpatah balik atau “air turn-back” dalam penerbangan.
Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, operasi mencari di kawasan darat dan kawasan perairan lokasi kali terakhir MH370 dilaporkan terputus hubungan iaitu di Laut China Selatan berhampiran dengan perairan Vietnam.
“Dua kawasan pencarian ialah satu di bahagian Timur di mana ia dimulakan sejak hari pertama pesawat dilaporkan hilang dan kerana ada kemungkinan pesawat MH370 berpatah balik, kita juga telah melancarkan operasi mencari di bahagian darat menggunakan helikopter.
“Pencarian turut dilakukan di kawasan perairan Pantai Timur dan juga Pantai Barat Semenanjung di berhampiran Pulau Pinang,” kata Zulkifeli dalam sidang media pada pukul 1 tengahari tadi di Hotel Sama-Sama, Sepang.
Sementara itu, hasil siasatan radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunjukkan terdapat kemungkinan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MH370) memang cuba berpatah balik sebelum hilang dan terputus komunikasi dengan menara kawalan.
Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud berkata selepas pencarian sudah dilakukan lebih 24 jam ketika ini, pihak yang melaksanakan mencari dan menyelamat kini sedang cuba melihat kembali bagaimana operasi dilakukan supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih fokus.
“Apa yang kami lakukan ialah melihat kembali beberapa rekod yang diperolehi dari radar TUDM, kami melihat ada kemungkinan pesawat itu memang cuba berpatah balik,” katanya.
Rodzali berkata ekoran itu lingkungan kawasan mencari dan menyelamat kemungkinan akan diperluaskan lagi melibatkan keseluruhan Laut China Selatan.
“Pihak kami sudah memohon pihak berkaitan di Indonesia untuk membantu kami dalam perkara ini,” katanya. – MYNEWSHUB.MY