Wanita Perancis Dituduh Tanam Ganja

GANJA
KOTA KINABALU – Dua individu termasuk seorang wanita warga Perancis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menanam tumbuhan jenis kanabis atau ganja di sebuah rumah di bandar raya ini.
Warga Perancis itu, Melissa Marie Commins, 31, dan seorang rakyat tempatan Jon Stephen Mosundu, 24, didakwa menanam pokok ganja di No. 302, Signal Hill Tower, Jalan Bukit Bendera, di sini pukul 11.30 pagi, pada Rabu, 29 Januari lepas.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 6B (3) akta sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Hakim Dean Wayne Daly menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dominic Chew dan Nartiah F. Michelle Sambathan manakala peguam Nelson Angang dan Bartholomew Jingulam mewakili kedua-dua tertuduh.
Terdahulu, rakan mereka, seorang lelaki warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan iaitu mengedar 572 gram ganja dan menanam pokok ganja di unit lain kondominium itu pada hari yang sama.
Ashley Ng Han, 26, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Timbalan Pendaftar Ryan Sagiran Rayner JR menetapkan 18 Februari untuk sebutan semula kes. – BERNAMA