Filem Komedi Seram Tak Rugi Ditonton!

kami
Melihat kepada rekod syarikat produksi Red Films yang banyak menerbitkan filem bercorak urban dan segar antaranya Istanbul Aku Datang, Pisau Cukur dan Gol & Gincu, rasanya filem terbaru keluaran mereka iaitu Kami Histeria bakal memberikan satu lagi hiburan maksima buat penggemar filem tempatan.
Bagi penulis, Kami Histeria yang diarahkan oleh pengarah muda, Shamyl Othman ini cukup rempah dan ramuan bagi sebuah filem komedi seram yang lari daripada kebiasaan filem yang dihidangkan oleh syarikat penerbitan yang lain sebelum ini.
Filemnya tidak ‘cliche’ malah berjaya membawa mood seram kelakar tanpa sedikit pun mencacatkan sesuatu babak tersebut.
Malah, penglibatan pelakon kegemaran Red Films iaitu Nur Fazura Sharifuddin dalam filem ini juga memberikan dimensi watak yang baru buat dirinya selain pelakon utamanya, Diana Danielle yang perlu menonjolkan bakat nyanyiannya yang diasah oleh penerbit muzik Kami Histeria, Monoloque.
kami1
Kami Histeria mengisahkan band perempuan, Histeria yang dianggotai vokalisnya, Laila (Diana), pemain gitar, Bad (Sara Ali), pemain keyboard, Airin (Mila Jirin), gitaris, Peanut (Nad Zainal) dan pemain drum, Jojo (Umie Omar) yang secara tidak sengaja telah terakam suara ‘Cik Lang’ atau Langsuir lakonan Fazura dalam sebuah lagu baru mereka, dan sejak itu kehidupan mereka mula berubah apabila lagu tersebut mulai hits dan meletup!
kami2
Sejak itu, mereka berlima sepakat memburu dan menagih suara hilaian Cik Lang untuk dimuatkan dalam lagu-lagu mereka, tapi dalam dunia ni bukan semua benda datang percuma.
Dari situ Cik Lang membuat satu syarat yang perlu dan wajib ditunaikan mereka sekiranya lagu mereka itu turut menjadi hits seperti lagu sebelumnya.
Mungkin suratan atau kebetulan, lagu kedua kumpulan itu turut ‘berhantu’ dan menjadi siulan sehingga mereka semakin dikenali di seluruh negara.
Berikutan kejayaan tersebut, Cik Lang kembali menuntut janji serta syarat yang tidak dinyatakannya sebelum ini atau jika tidak dapat menunaikan permintaan tersebut, nasib mereka boleh diibaratkan seperti nyawa di hujung tanduk!
Di sini juga bermulanya konflik dalaman di antara Laila dan Bad yang bercanggah pendapat berhubung permintaan ‘tidak masuk akal’ Cik Lang itu.
Apakah nasib kelima-lima gadis ini, dapatkah mereka menyempurnakan tugasan sukar yang dituntut Cik Lang itu?
kami3
Untuk mengetahui kesudahan filem ini, jangan lupa luangkan masa anda dengan menonton filem komedi seram ini di pawagam berdekatan anda bermula hari ini!
Kami Histeria turut dibintangi Afdlin Shauki, Izzue Islam dan Shah Jaszle.