Isu Aib Luna, Nabil Tak Berhasrat Minta Maaf

Wajarkah Nabil SINDIR Luna Maya Mengenai 'Kisah Silamnya'?

Pelawak dan pelakon, Nabil Ahmad menyatakan dia tidak akan meminta maaf kepada Luna Maya berkenaan lawaknya di pentas separuh akhir Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM2013), Jumaat lalu.
Nabil turut meluahkan perasaan kecewanya dengan pemikiran sempit penonton program tersebut.
Memetik portal Astro Gempak, Nabil mengatakan, “saya tidak berhasrat untuk meminta maaf kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan atau mempunyai isu peribadi dengan Luna Maya. Saya tidak sangka pula lawak saya itu dilihat sebagai satu unsur penghinaan atau cuba mengaibkan Luna Maya”.
“Saya rasa kesal dengan segelintir peminat atau penonton yang berfikiran sempit sehingga cuba mahu perbesarkan hal-hal seperti ini. Sedangkan ianya sebuah lawak semata-mata dan tidak langsung cuba mahu menjatuhkan maruah individu yang terbabit,” ulasnya pelawak berusia 31 tahun ini.
Pada minggu separuh akhir MLM2013, Nabil menyelitkan lawak yang seakan menyindir Luna dan seperti yang diketahui ramai, nama Luna sebelum ini hangat dikaitkan dengan kontroversi video ‘panasnya’ dengan bekas kekasih, Ariel Noah.
Selepas insiden itu, nama Nabil teruk dikecam peminat setia program lawak nombor satu negara itu.
Diharapkan Nabil dapat mengambil iktibar daripada isu ini dengan lebih berhati-hati membuat lawak tanpa mengaibkan mahupun menjatuhkan maruah orang lain di masa hadapan.