MH370: Kenyataan Penuh Hari Ke-10 Berhubung Kehilangan Pesawat MAS

MH370: Kenyataan Penuh Hari Ke-10
KUALA LUMPUR – Berikut kenyataan pemangku Menteri
Pengangkutan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada
sidang media di Sepang, Selangor, hari ini berhubung usaha mencari pesawat
Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:
1. Usaha diplomatik
Dalam tempoh 24 jam lepas, Perdana Menteri telah berhubung dengan Perdana
Menteri Australia dan Perdana Menteri China. Kementerian Luar Malaysia telah
menghantar nota diplomatik kepada semua negara yang terbabit dalam operasi
mencari dan menyelamat.

Ini termasuk dua kumpulan: yang pertama ialah negara-negara di koridor
pencarian: dan yang kedua negara-negara yang kita memohon bantuan dan kepakaran.

Bagi negara-negara dalam koridor pencarian, kita memohon maklumat radar dan
satelit, serta aset-aset tertentu bagi operasi mencari dan menyelamat. Kita
meminta mereka berkongsi maklumat pelan tindakan operasi mencari dan menyelamat
dari darat, laut dan udara dengan Pusat Koordinasi Kebangsaan di Malaysia,
supaya kita dapat menyelaraskan operasi mencari. Kita telah meminta maklumat
terkini dari semasa ke semasa termasuk laporan setiap hari berhubung usaha
mencari, dan butiran tentang apa-apa maklumat yang dikehendaki daripada
Malaysia.

Kita tidak boleh sesuka hati mendedahkan maklumat dari negara-negara tertentu.
Sebagai pihak berkuasa koordinasi, kami mengumpulkan semua maklumat sebagai
sebahagian daripada operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan
sekarang.

2. Operasi mencari dan menyelamat
Dalam tempoh 48 jam lepas, Malaysia telah menggerakkan keperluan diplomatik,
teknikal dan logistik dalam usaha mencari pesawat MH370. Jumlah negara yang
terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat telah meningkat kepada 26.

Malaysia terus mengetuai koordinasi keseluruhan dalam operasi mencari. Koridor
selatan dibahagikan kepada dua seksyen, menurut garis pemisah Pertubuhan
Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Garis pemisah ini telah dipersetujui oleh ICAO – yang Malaysia ialah anggota
majlis — sebelum pesawat MH370 hilang. Australia dan Indonesia bersetuju untuk
mengetuai operasi mencari dan menyelamat di rantau masing-masing mengikut garis
pemisah yang ditetapkan ICAO.

Hari ini, saya dengan ini mengesahkan bahawa operasi mencari dan menyelamat di
koridor utara dan selatan telahpun bermula.

Negara-negara termasuk Malaysia, Australia, China, Indonesia dan Kazakhstan
telahpun menggerakkan usaha mencari dan menyelamat.

Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia telahpun
menempatkan aset-aset ke koridor selatan. Dua buah kapal Malaysia telah
dikerahkan: kapal peronda pesisir pantai KD Kelantan dan KD Selangor. Kerahan
ini juga termasuk helikopter Super Lynx yang boleh beroperasi dari mana-mana
kapal.

Australia telahpun menghantar pesawat P-3 Orion ke perairan Kepulauan Cocos dan
Pulau Christmas. Perdana Menteri Australia hari ini mengesahkan bahawa Australia
akan menghantar dua lagi pesawat P-3 Orion dan C-130 Hercules. Pesawat P-8
Poseidon dari Amerika Syarikat akan terbang ke Perth hari ini untuk membantu
dalam gerakan mencari.

3. Penglibatan Pakar-pakar
Malaysia telah bekerjasama dengan para penyiasat antarabangsa dan pihak berkuasa
penerbangan sejak hari pertama pesawat berkenaan dilaporkan hilang.

Semalam, pakar-pakar daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China menyertai
pasukan penyiasat.

Hari ini, para pegawai dari Pejabat Penyiasatan dan Analisis bagi Keselamatan
Penerbangan Awam Perancis juga menyertai pasukan itu. Pihak berkuasa ini
bekerjasama dengan Malaysia Airlines dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk
menganalisis data yang dapat membantu usaha mencari dan menyelamat.

4. Siasatan polis
Pada 8 Mac (Sabtu), Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan terhadap semua anak
kapal dalam pesawat MH370, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang serta
petugas di daratan yang mengendalikan pesawat.

Pada 9 Mac (Ahad), pegawai polis mengunjungi rumah juruterbang dan pembantu
juruterbang. Pegawai pegawai polis juga menemui anggota keluarga juruterbang dan
pembantu juruterbang.

Polis sekali lagi mengunjungi rumah juruterbang dan pembantu juruterbang pada 15
Mac (Sabtu). Polis mengambil simulator penerbangan milik juruterbang dari
rumahnya dengan bantuan anggota keluarganya. Simulator itu dipasang semula di
ibu pejabat polis Bukit Aman.

Pada peringkat ini, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia bekerjasama dengan
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Interpol dan pihak berkuasa undang-undang
antarabangsa yang berkaitan sejak hari pertama.

5. Respons Malaysia
Saya ingin menjelaskan tentang spekulasi kononnya Malaysia menyembunyikan
maklumat mengenai pergerakan MH370.

Bagi anggota keluarga, saya faham bahawa setiap hari yang menjelang memanjangkan
lagi penderitaan. Saya faham kerana keluarga dari Malaysia juga merasai
kehilangan anak lelaki dan anak perempuan mereka. Ada 50 rakyat Malaysia dalam
pesawat berkenaan.

Kami sentiasa memberi keutamaan bagi mencari pesawat itu. Kami tidak
menyembunyikan apa-apa maklumat yang boleh membantu misi mencari. Tetapi kami
juga mempunyai tanggungnjawab untuk tidak menyiarkan maklumat sehinggalah ia
disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa.

Tanggungjawab ini bukan sahaja kepada anggota keluarga dan siasatan tetapi juga
meliputi gerakan mencari dan menyelamat. Ini kerana adalah tidak
bertanggungjawab untuk menempatkan sebahagian besar aset semata-mata berdasarkan
maklumat yang tidak sahih dan tidak betul.

Sebaik sahaja timbul kemunginan bahawa pesawat itu mungkin berpatah balik ke
Selat Melaka, kami memperluaskan gerakan mencari ke kawasan itu. Saya ingin
mengulangi kenyataan pasukan penyiasat Amerika Syarikat mengenai keputusan itu:
berdasarkan maklumat dan data yang diberikan oleh pihak berkuasa Malaysia,
pasukan Amerika Syarikat berpendapat bahawa bahawa ada alasan yang wajar bagi
pihak berkuasa Malaysia untuk menggunakan aset-aset bagi menggerakkan
operasi mencari di bahagian barat semenanjung Malaysia.

Sebaik sahaja kami mengesahkan kesahihan maklumat baharu dari satelit tentang
kemungkinan lokasi terakhir pesawat itu berada, kami menggerakkan usaha mencari
ke koridor utara dan selatan seperti diumumkan Perdana Menteri. Selepas membuat
kenyataan ini, kami akan menyiarkan peta yang lebih terperinci mengenai koridor
utara dan selatan.

6. Malaysia Airlines (MAS)
Malaysia Airlines telah menubuhkan pusat operasi di Kuala Lumpur dan Beijing,
untuk memberi bantuan kepada keluarga anak kapal dan penumpang pesawat itu.

MAS menyediakan seorang penjaga kebajikan bagi setiap keluarga. Penjaga
kebajikan itu akan bertugas secara 24 jam. MAS telah menghantar lebih 100
petugas dan penjaga kebajikan ke Bijing.

Syarikat penerbangan itu memberi taklimat kepada keluarga berkenaan setiap
hari. Mereka menyediakan sesi kaunseling dan mereka menghubungi keluarga yang
membuat keputusan untuk tidak datang ke Malaysia, dua hingga tiga kali sehari.

7. Kenyataan Kesimpulan
Sejak dua hari lepas, kami telah menggiatkan usaha pencarian MH370. Ia terus
menjadi cabaran diplomatik, teknikal dan logistik. Malaysia berpuas hati dengan
kemajuan yang dicapai dalam tempoh yang singkat itu. Kami berterima kasih
kepada ketua-ketua kerajaan yang dalam respons dalam perbualan dengan kami telah
melahirkan komitmen untuk membantu.

Hasil sokongan daripada banyak rakan antarabangsa kami, fasa baharu misi
pencarian bermula. Aset-aset dikerah, dan operasi mencari dan menyelamat telah
bermula. Saya ingin mengucapkan terima kasih rakan-rakan dari seluruh dunia atas
bantuan mereka yang berterusan.
– BERNAMA