26 Negara Terlibat- Pencarian Kini Mencecah 30 Juta Batu Persegi

mh
Berikut adalah senarai negara-negara yang terlibat secara rasmi dan penuh dalam usaha mencari dan mengesan MH370 yang dipercayai dilarikan oleh individu atau kumpulan yang mempunyai kepakaran mengawal kapal yang tinggi;
Malaysia, Australia, Bangladesh, Brunei, China, France, India, Indonesia, Japan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Philippines, Russia, Singapore, South Korea, Thailand, Turkmenistan, UAE, UK, US, Uzbekistan, dan Vietnam.
Bermakna ada 26 negara yang meliputi kawasan pencarian seluas 30 juta batu persegi.
Kawasan yang kini menjadi tumpuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 iaitu Koridor Utara dan Selatan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kawasan yang tersangat luas.
Menurut laporan media tempatan, Panglima Operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenen Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, dua koridor itu yang berbentuk segi empat tepat itu digelar “lembah tidak diketahui’.
Lokasi hujung atau penjuru terdekatnya terletak lebih 1,000 batu nautika dari sempadan Malaysia.
Jika diukur secara kasarnya, jarak antara hujung koridor utara sehingga hujung koridor selatan ialah lebih 7,000km.
Lautan Hindi yang juga turut menjadi lokasi pencarian sahaja berkeluasan 73,440,000km persegi dan ia merupakan lautan ketiga terluas di dunia selepas Lautan Pasifik dan Atlantik.
Purata kedalaman perairan di Lautan Hindi ialah 3,890 meter (3.9km) dan pernah dikesan mencecah kedalaman 7,450 meter atau 7.5km.
Pada sidang media kelmarin, Najib mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama adalah pesawat MH370 sambil berkata ia telah menyimpang dari laluan penerbangan asal ke Beijing.
Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan satelit kemungkinan sewaktu berada dalam satu daripada dua koridor.
Malaysia yang mengetuai operasi itu telah menggerakkan asetnya iaitu 15 pesawat TUDM termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725 dan dua helikopter Augusta selain 16 kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta empat kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pesawat Bombardier CL415.
TLDM antaranya menggerakkan KD Mahawangsa, KD Kasturi, KD Lekiu, KD Pahang, KD Selangor, MV Mega Bakti yang mempunyai keupayaan mengesan objek dalam air sehingga kedalaman 1,000 meter serta pesawat Fennec dan pesawat Super Lynx.
Pastinya dengan keluasan itu kita boleh membuat andaian bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk menemui MH370.
Pada masa ini, semua pencarian hanya bersandarkan maklumat radar terakhir pada 8 Mac lalu yang dikesan pukul 8.11 pagi.
Justeru, mungkin doa kita sahajalah senjata terbaik untuk membantu menemukan kapal berkenaan.