Seoul – Penonton di Korea Selatan
 dikejutkan dengan tindakan seorang peserta rancangan realiti `Jjak’ 
yang menggantung dirinya kerana dia merasakan rancangan itu membuatkan 
dia tidak popular.
Wanita berusia 29 tahun itu, yang 
dikenali sebagai Chun mengambil bahagian dalam rancangan untuk mencari 
jodoh dan ditemui mati pada Rabu lalu.
Dia meninggal dunia ketika lokasi penggambaran diadakan di Pulau Jeju.
Mayat Chun ditemui bersama sekeping nota yang menyatakan bahawa dia enggan hidup lagi.
Menurut ibunya, Chun memberitahu bahawa dia lebih rela meninggalkan Korea Selatan daripada membiarkan rancangan itu keudara.
Dia juga mengadu kepada rakan-rakannya 
bahawa dalam rancangan itu dia digambarkan sebagai wanita tragik dengan 
banyak adegan yang menunjukkan dia keseorangan.
Susulan kematian Chun, program berkenaan
 yang sepatutnya disiarkan malam tadi dibatalkan dan meskipun mereka 
memohon maaf kepada keluarga Chun, ia enggan bertanggungjawab terhadap 
kematian wanita itu.
Rancangan Jjak merupakan rancangan 
paling popular di Korea Selatan dan ia meletakkan 10 lelaki dan wanita 
di dalam satu rumah selama seminggu.
Aktiviti mereka difilemkan dan formatnya
 ialah setiap peserta perlu melakukan cabaran yang diberikan dengan 
harapan mereka akan mendapat pasangan pada penghujung rancangan.
* Gambar Hiasan