Sikap FAM Punca Bola Sepak Negara Tak Ke Mana – MB Terengganu

mat said
HULU TERENGGANU — Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad
Said mempersoal tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwa gagal
mengambil kira isu keselamatan dalam insiden membabitkan pasukan T-Team dan
Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA minggu lepas.

Beliau mengulas tindakan FAM yang memberi kemenangan percuma 3-0 kepada JDT
pada Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya
semalam.

Ahmad Said berkata pasukan T-Team bukanlah bodoh untuk menarik diri sesuka
hati pada perlawanan itu dan FAM sepatutnya meneliti lebih mendalam perkara
berkenaan, bukannya membuat keputusan berdasarkan laporan pengadil serta pegawai
terbabit semata-mata.

“Kalau tidak kerana faktor keselamatan, kerana apa? Saya dimaklumkan pasukan
Terengganu terpaksa diiringi keluar oleh polis, dan mereka diiring hingga ke
sempadan Mersing serta diminta jangan pakai jersi. Apakah itu bukan kerana soal
keselamatan?,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan Dewan Undangan
Negeri Telemong hari ini.


Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat,
yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong.

Ahmad mendakwa keputusan FAM itu tidak wajar kerana pengadil dan pegawai
perlawanan tidak melihat apa yang berlaku dalam terowong sewaktu perlawanan
berhenti rehat pada separuh masa pertama.

“Ya, saya memang kecewa dengan sikap FAM, inilah sebenarnya yang menyebabkan bola sepak negara ini tidak ke mana berbanding Korea dan Jepun, yang menjadi saingan Malaysia suatu ketika dahulu.
   
“Korea dan Jepun kini sudah mara ke separuh akhir Piala Dunia tetapi Malaysia masih terkial-kial kerana pengurusan yang tidak berwibawa, tidak bertanggungjawab dan tidak berkebolehan,” katanya.
Beliau turut meminta pemain dan pegawai T-Team yang menyaksikan kejadian di
terowong Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor baru-baru ini,
termasuk pemain pertahanan pasukan itu, Mohd Irfan Abdul Ghani, bersumpah
menggunakan Al-Quran bagi menegakkan kebenaran.

Dalam pada itu, Ahmad berkata beliau tidak akan campur tangan dalam urusan
bantahan kepada FAM.

“Itu terpulang kepada pengurusan bola sepak… tapi yang pastinya, saya tahu
pihak pengurusan tidak akan cakap banyak sebab bola sepak di Malaysia ini kalau
cakap banyak, akan kena gantung.

“Malah sebab itu juga saya tidak mahu pegang Persatuan Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) walaupun didesak ramai orang. Saya tahu kalau saya pegang
jawatan Presiden, paling kuat enam bulan kot, lepas itu kena gantunglah,”
katanya.– BERNAMA