Pendedahan Mengejutkan Peserta Ratu Rantik

Maya Nava
Venezuela – Seorang remaja yang bercita-cita menjadi Miss Venezuela bukan sahaja melakukan pembedahan hidung dan implan payu dara, malah sanggup menjahit plastik di lidahnya, bertujuan memastikan dia sentiasa kurus.
Maya Nava ketika mendedahkannya berkata, apabila plastik itu dijahit ke lidahnya, dia akan berasa sangat sakit apabila makan makanan pepejal.
Dia hanya boleh makan makanan berupa cecair dan sungguhpun ia merupakan sesuatu yang menyakitkan, namun Maya berpendapat itu sahaja cara untuk memastikan dia kekal langsing serta berpeluang menjadi ratu cantik.
“Saya berasal dari keluarga miskin dan saya mahu orang ramai tahu bahawa kami juga boleh berjaya.
“Hanya dengan menjadi ratu cantik, maka ia dapat mengubah nasib saya dan keluarga saya serta keluar daripada kemiskinan ini,’’ katanya ketika ditemubual BBC 3.
Harapan tinggi Maya itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan dia menetap di Santa Cruz, iaitu kawasan di mana pembunuhan berlaku setiap 40 minit.
Dengan memenangi Miss World, karier mereka dalam bidang hiburan akan berkembang dan dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.
Maya merupakan antara peserta yang menyertai kem kecantikan yang ketat yang diselia oleh Osmel Sousa.
Dalam kem itu, mereka sentiasa diawasi oleh kamera dan pembedahan kosmetik merupakan perkara rutin.

Jual Barang Kemas, Bayar Hutang Judi

mariam
London – Bekas isteri Sultan Brunei, Mariam Aziz mengaku menjual barang kemasnya bagi membayar hutang judi berjumlah lebih £1 juta di kasino di sini.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan melibatkan pengawal peribadinya, Fatimah Lim yang dituduh mencuri berlian bernilai £12 juta daripadanya dan menggantikan dengan berlian replika.
Fatimah mendakwa dia berbuat demikian untuk membayar hutang judi selama 20 bulan ketika Mariam mengunjungi kasino di seluruh dunia.
Bagaimanapun Mariam menafikannya dan memberitahu bahawa dia tidak pernah meminta sesiapapun terutama Fatimah untuk menjual berlian berkenaan kerana dia sendiri boleh membayar hutang itu.
Fatimah telah diupah oleh Mariam sebagai jurulatih badmintonnya sebelum menjadi pengawal peribadinya.
Dalam sesi perbicaraan itu juga, Mail Online melaporkan mahkamah mendengar keterangan bahawa Mariam, 57, pernah rugi sebanyak £500,000 hanya dalam semalam, ketika berjudi di London.
Wanita itu yang juga bekas pramugari dilaporkan kerap mengunjungi kasino di Singapura, Macau dan London – termasuk Clermont Club di Berkeley Square , di mana dia mempunyai had kredit sebanyak £2.5 juta.
Mahkamah turut dimaklumkan Mariam memujuk pengawal peribadinya yang beragama Islam untuk berjudi dan memberi cip judi bernilai £1,500 pada satu-satu masa meskipun ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Mariam yang memiliki hartanah di Leicestershire, Kensington, dan Singapura mendakwa dia tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikan hutang judinya.
Sultan Hassanal Bolkiah dan Mariam bercerai pada 2003 selepas 21 tahun berkahwin serta mempunyai empat orang anak.
Perbicaraan itu bersambung.

Mahu Pegawai Kadet Pelihara Imej Tentera

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

PORT DICKSON – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Sabtu mengingatkan pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar memelihara imej tentera bagi memastikan pasukan itu kekal mulia di mata masyarakat.
Titah baginda untuk itu mereka perlu sentiasa mematuhi disiplin ketenteraan selain menjaga tingkah laku agar tidak mencemarkan imej dan reputasi ATM.
Baginda turut menggesa pegawai kadet ATM agar terus mengejar ilmu bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan bersedia untuk mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama.
Walaupun negara dalam keadaan aman sekarang, ancaman boleh datang pada bila-bila masa dari dalam dan luar negara dalam pelbagai bentuk, titah baginda sempena Perbarisan Pentauliahan Diraja 61 pegawai kadet tauliah jangka pendek ke-76 di Kolej Tentera Darat (KTD) di sini.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat itu. Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tuanku Abdul Halim turut menasihati pegawai kadet berkenaan agar mencontohi kecemerlangan perwira terdahulu.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua mencemar duli berangkat menyempurnakan istiadat perbarisan pentauliahan diraja itu yang diketuai Pegawai Rendah Kanan Nor Ikhmar Madarsa.
Nor Ikhmar kemudian diumum sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik manakala Pegawai Rendah Muda Mohamad Shafiq Ramzan dinobat Penuntut Terbaik Kemahiran Ketenteraan.
Kumpulan pegawai kadet itu ialah yang terakhir diurus selia oleh KTD yang akan distrukturkan semula menjadi Akademi Tentera Darat.
Turut diadakan hari ini adalah acara penurunan bendera KTD sebagai simbolik penstrukturan semula kolej. Bendera itu kemudian dipersembah kepada Tuanku Abdul Halim oleh Komandan KTD Kolonel Abdul Aziz Ahmad. – BERNAMA